Home / Bola Sepak / Warna Warni Liga Bolasepak Malaysia

Warna Warni Liga Bolasepak Malaysia

AK1_9403

Hariss Harun dari pasukan JDT meraikan gol jaringan beliau dalam perlawanan Piala Sultan Ahmad Shah minggu lalu. ©SukanMalaysiaDotMY

Oleh: Hisyam Rahman
Seminggu berlalu sudah saingan Liga bolasepak negara kita untuk Musim 2016. Semua Peminat bolasepak tanahair pasti tidak sabar untuk melihat kehadapan drama, tekanan, kemenangan, permainan menarik dan segala macam keseronokan yang membuat kita tertunggu-tunggu setiap minggu perlawanan di stadium mahupun di kaca televisyen.

Harapan kita Liga Malaysia tahun ini dapat melahirkan pemain-pemain baru yang menyinar untuk setidak-tidaknya sama taraf dengan pemain kebangsaan semasa agar Pasukan Negara mempunyai sejumlah pemain yang berkualiti untuk mengungguli peringkat Asia Tenggara dan mampu bersaing di peringkat Asia.

Kita patut sedar Amri Yahyah, Indra Putra, Safee Sali sudah melewati umur 30an, Safiq Rahim dan Aidil Zaquan juga sudah mendekati umur 30an, itu adalah tahap umur bagi pemain yang sudah matang namun malangnya pasukan negara kita belum cukup matang dan masih terkial-kial mencari nama hanya di Asia Tenggara.

Barisan Pemain Selangor. ©SukanMalaysiaDotMY

Barisan Pemain Selangor. ©SukanMalaysiaDotMY

Jadi kita sudah patut beralih pada pemain muda yang kita harapkan sangat untuk menyinar dalam liga kita. Pemain muda yang mampu bersaing bukan sahaja dengan pemain tempatan tetapi pemain import.  Objektif liga kita yang utama sepatutnya adalah untuk melahirkan pemain yang berkualiti.  Dan untuk melahirkan pemain berkualiti kita perlu dahulu ada liga yang berkualiti.  Dengan itu FAM telah merintis jalan untuk menjadikan liga kita ini berkualiti dengan membenarkan pemain import kembali dalam kancah bolasepak kita.  Pemain tempatan kita harapkan dapat menyaingi pemain import dan bukannya membiarkan mereka menguasai liga kita.  Sebenarnya, dengan membawa masuk pemain import sedikit sebanyak kita dapat menghidupkan saingan seperti kita bermain di eropah tetapi di bumi Malaysia.

Setiap pasukan juga patut sedar Liga Bolasepak kita sekarang bukan seperti zaman Mokhtar Dahari yang pemainnya bukan bermain bolasepak sepenuh masa.  Liga kita ini Liga Professional, pemain bermain bolasepak sepenuh masa dan itu bermakna bolasepak adalah sumber pendapatan utama mereka.  Dengan itu kebajikan, Gaji, Insuran dan segala hal ehwal pemain perlu di jaga seperti pekerja seperti di industry-industri yang lain contohnya Industri telekomunikasi, kesihatan dan sebagainya.

Pasukan juga sudah tidak boleh berharap kepada FAM semata-mata sebagai pemberi dana untuk perbelanjaan pasukan sepanjang musim.  Mereka perlu mencari penaja dan juga perlu pandai menjana pendapatan dari segala sudut yang ada dari pemain yang bergelar professional.  Pakaian, Cenderamata, malah tandatangan di poster juga mampu menjana pendapatan tambahan untuk pasukan.

Pasukan JDT 2016 ©SukanMalaysiaDotMY

Pasukan JDT 2016 ©SukanMalaysiaDotMY

Johor Darul Takzim contohnya, pasukan yang mempunyai tabung kewangan yang kukuh dengan TMJ selaku penaung.  Mereka mendahului pasukan lain untuk berbelanja besar memancing pemain-pemain hebat di Malaysia.  Mereka mempunyai stadium yang gah dengan penyokong yang hebat.  Pasaran mereka untuk menjual barangan pasukan juga luas kerana mereka mempunyai pengikut yang ramai dan mereka juga bijak memasarkan pasukan mereka apatah lagi pasukan JDT cemerlang  dalam tempoh 2-3 tahun ini dengan menjuarai Liga Super dan yang paling tinggi Juara Piala AFC.   Mereka adalah pasukan pertama dari Malaysia mencipta sejarah itu.

Kelantan pula yang dirundung masalah kewangan lewat musim lalu telah berjaya mendapatkan penajaan dari Pembekal Kosmetik dengan jumlah yang besar.  Namun penaja meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi sebelum bersetuju untuk menaja pasukan Kelantan.  Melihat kepada keadaan ini, ianya pelik kerana penaja cuba memanipulasi keadaan pasukan yang perlukan dana mereka dengan meletakkan beberapa syarat yang menjadikan pasukan itu adalah pasukan Penaja!.  Sedangkan pasukan itu masih lagi kepunyaan Kelantan FA dan keadaan ini amat berbeza dengan kelab-kelab di negara lain yang mana penaja itu menjadikan pasukan itu sebagai tempat mereka menumpang pasaran.  Pasukan amnya sudah ada pengikut yang beratus ribu malah berjuta, kerana itulah penaja ingin membuat penajaan untuk menumpang pasaran yang sedia ada pada pasukan berkenaan.    Mungkin kita perlu membuat satu seminar untuk memberitahu apa bezanya menjadi penaja dan pemilik sesebuah pasukan!.

Bolasepak Malaysia juga telah mendengar beberapa cerita di mana ada sesetengah pasukan yang akan menyediakan prasarana yang bertaraf dunia dari tempat penginapan   hingga ke kolam mandi yang mampu mengembalikan kecergasan pemain.  Ini satu perkembangan yang positif! Syabas!.  Namun apabila kita bercerita mengenai prasarana ini peminat juga selalu membandingkan hanya Malaysia dengan Vietnam! Semudah itu!

Sebenarnya kita bukan sahaja mahu prasarana yang baik, tetapi projek pembangunan bolasepak yang baik dari tahap Awalan lagi.  Kita peru lebih banyak Akademi Bolasepak seperti yang dilakukan oleh Frenz United bagi melahirkan pemain-pemain yang berkualiti.  Bila kita sudah komited dengan Bolasepak pada Tahap Profesional, kita sepatutnya sudah lama bertindak professional memikirkan bagaimana melahirkan bukan sahaja pemain yang professional malah pengurusannya.

Namun semua ini belum terlambat bagi Negara kita.  Segala usaha yang dilakukan kita tahu objektifnya adalah untuk meningkatkan  martabat Pasukan Bolasepak Negara, dan dengan strategi yang betul dan tepat pasti impian itu akan tercapai.

Apapun Semoga Bolasepak Malaysia kita pada tahun ini akan bersinar dan berjaya mencapai KPI untuk berada di tangga 140 dunia.  Target itu memang untuk Jurulatih Harimau Malaysia, Tetapi perlu diingat, ianya hanya akan tercapai jika semua jurulatih dalam kancah Liga Malaysia berjaya melahir dan meningkat permainan pemain mereka dalam pasukan yang mereka wakili.