Home / Lain - Lain / WARGA SUKAN SABAR MENANTI BERITA BAIK DARI MKN

WARGA SUKAN SABAR MENANTI BERITA BAIK DARI MKN

Selain daripada aktiviti riadah yang tidak melibatkan sentuhan dan perhimpunan ramai mendapat kebenaran daripada kerajaan, kini beberapa aktiviti sukan dan rekreasi akan kembali dibenarkan bersambung.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ahmad Sabri Yaakob berkata perkara itu akan diumumkan selewat-lewatnya Isnin.

Dijangka kerajaan akan membenarkan fasiliti sukan tertutup seperti gimnasium dan dewan badminton kembali beroperasi.

Ini termasuk kebenaran aktiviti sukan berpasukan melibatkan bola sepak, hoki dan lain-lain untuk tujuan latihan dan permainan tanpa kontak fizikal.

Kerajaan sedia memberikan kebenaran untuk semua aktiviti itu selepas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membentangkan cadangan dan garis panduan pembukaan fasa dua dalam mesyuarat khas menteri-menteri.

Antara garis panduan yang perlu diambil kira adalah penjarakkan sosial 2 hingga 5 meter dan tidak melibatkan perhimpunan ramai.

Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melarang semua aktiviti sukan dan rekreasi.

Bagaimanapun kerajaan mula memberi kebenaran kepada orang ramai untuk bersukan dan beriadah pada awal Mei namun terhad kepada aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan.

Dalam pada itu badan induk bola sepak negara FAM pastinya antara yang menyimpan harapan besar untuk kebenaran diberikan oleh pihak majlis keselamatan negara (MKN).

Perjumpaan keempat bersama Menteri Belia dan Sukan telah disertai oleh presiden Datuk Hamidin Mohd Amin, setiausaha agung Stuart Ramalingam serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

FAM sebelum ini telah pun mengadakan tiga pertemuan pada 17 Mac, 30 April dan 31 Mei lalu.

Harapan pastinya tinggi untuk sukan bola sepak kembali mendapat kebenaran untuk dilakukan sejak semua aktiviti berkaitan termasuklah saingan Liga Malaysia digantung pada 16 Mac lepas berikutan penularan pandemik Covid-19.