Home / Lain - Lain / Wakil SAM dipilih Jawatankuasa AIPS Asia !

Wakil SAM dipilih Jawatankuasa AIPS Asia !

IMG_3717

Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa bersama Presiden AIPS ASIA, Mohamed Qassim pada kongres AIPS ASIA di Bahrain Februari lalu. ©SAM

KUALA LUMPUR , 12 April 2016 : Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) terus diberi pengiktirafan di peringkat Asia apabila 3 pemimpin utamanya dilantik menduduki jawatankuasa Kesatuan Penulis Sukan Asia (AIPS ASIA). Selepas Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Saudara Ahmad Khawari Isa menduduki salah satu kerusi Naib pada kongres AIPS ASIA di Bahrain Februari lalu, dua lagi wakil SAM dilantik dalam salah satu daripada 7 jawatankuasa yang ditubuhkan AIPS ASIA. Perlantikan itu adalah hasil permufakatan yang dicapai susulan dari mesyuarat Jawankuasa Eksekutif pertama AIPS ASIA yang diadakan pada 13 Februari lalu di Manama, Bahrain.

Selain Saudara Khawari yang turut dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Anugerah AIPS ASIA, Naib Presiden SAM, Saudara Norismadi Abd Manap turut dilantik menganggotai jawatankuasa tersebut yang turut dibarisi wakil Korea Selatan, Pakistan, Jordan, Arab Saudi dan Qatar. Manakala Setiausaha Agung SAM, Saudara Faisal Jamal dilantik menganggotai Jawatankuasa Media AIPS ASIA yang diketuai oleh wakil Sri Lanka dan turut dianggotai wakil dari India, Nepal, Bahrain, Arab Saudi dan Mongolia.

Naib Presiden SAM, Norismadi Abd Manap

Naib Presiden SAM, Norismadi Abd Manap

Perlantikan ini merupakan satu lagi kejayaan apabila ia merupakan kali pertama SAM memperolehi 3 wakil yang dilantik membarisi jawatankuasa-jawatankuasa dalam badan Asia itu. Ia juga merupakan satu lonjakan bukan sahaja bagi memperkuatkan lagi badan penulis sukan Asia itu di peringkat antarabangsa, tetapi juga sebagai bukti dan penghormatan atas kemampuan Malaysia untuk melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Setiausaha Agung AIPS ASIA, Amjad Aziz Malik dari Pakistan, dalam satu kenyataan ringkas mengalu-alukan kehadiran semua ahli-ahli jawatankuasa yang baru dilantik yang disifatkannya saling melengkapi keperluan untuk memperkuatkan kewartawanan sukan Asia di peringkat Antarabangsa. Beliau berharap kombinasi ahli-ahli dalam 7 jawatankuasa ini dapat menggembeling idea dan tenaga bagi mempromosikan lagi kewartawanan sukan Asia ke peringkat lebih tinggi menerusi pelbagai aktiviti dan acara yang akan dijalankan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Presiden AIPS ASIA, Mohamed Qassim dalam satu surat rasmi mengucapkan tahniah atas kejayaan SAM menganjurkan Majlis Anugerah SAM-100plus 13 April baru-baru ini yang dianggapnya satu kejayaan luar biasa yang mampu dianjurkan oleh sesebuah negara ahli. Menurut beliau Anugerah SAM berjaya menarik perhatian seluruh warga sukan di Malaysia termasuk pengamal media dan pengamal sukan yang terdiri dari wakil-wakil persatuan sukan dan juga Atlet. Beliau berharap kejayaan SAM itu akan menjadi model terbaik untuk dibawa ke peringkat Asia nanti sambil berharap sesuatu yang lebih mengujakan apabila Malaysia bakal menjadi tuan rumah Kongres AIPS ASIA yang bakal diadakan pada tahun 2017 nanti.

Berikut adalah senarai 7 jawatankuasa AIPS ASIA yang baru ditubuhkan:

  1. Jawatankuasa Wanita. Presiden / Pengerusi = Farah Salem, UAE
  1. Jawatankuasa Pemasaran dan Kewangan. Presiden / Pengerusi = Muhammad Hejji, Qatar
  1. Jawatankuasa Anugerah. Presiden / Pengerusi = Ahmad Khawari Isa, Malaysia
  1. Jawatankuasa Latihan dan Program. Presiden / Pengerusi = Hussein Alyan, Palestin
  1. Jawatankuasa Perhubungan dan Keahlian. Presiden / Pengerusi = Abdullah Ibrahim, UAE
  1. Jawatankuasa Media. Presiden / Pengerusi = Hishan Welmilla, Sri Lanka
  1. Jawatankuasa Kongres. Presiden / Pengerusi = Talal Al-Shaikh, Arab Saudi