Home / Bola Sepak / WACANA SM : Pasukan Bawah 23 Negara – Senior atau Kekal Junior?

WACANA SM : Pasukan Bawah 23 Negara – Senior atau Kekal Junior?

oleh : Hisyam Rahman 

Pencapaian Skuad bawah 23 yang layak ke suku akhir di kejohanan AFC Bawah 23 tahun telah menjadi bualan peminat bolasepak seluruh negara ketika ini. Ramai yang berkata mereka patut diserapkan ke skuad senior pasukan kebangsaan atas pencapaian mereka dan ada pula yang mengatakan sebaliknya.

Kapten pasukan bawah 23 negara Adam Nor Azlin, percaya dengan keyakinan yang ada dalam diri pemain sekarang, mereka bersedia untuk memikul cabaran lebih besar bersama skuad kebangsaan.

© Khairil Ajhar / SukanMalaysiaDotMY

Beliau menegaskan Pemain bawah 23 negara memiliki semangat, dan lengkap di setiap posisi untuk diserap ke skuad kebangsaan, selain sebagai satu pendedahan bagi pemain-pemain muda ke peringkat lebih tinggi. Sebagai rekod Adam antara pemain yang sudah membuat penampilan bersama skuad senior selain Matthew Davies, Nor Azam Azih, Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Namun begitu bekas pemain kebangsaan, Datuk Santokh Singh menegaskan agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak terburu-buru menaikkan pangkat pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) sebagai pasukan senior sekalipun mereka menunjukkan aksi membanggakan di China.

Lagenda bola sepak itu beranggapan anak buah Datuk Ong Kim Swee masih lagi mentah serta belum berkemampuan untuk memikul tanggungjawab sebagai pasukan utama negara. Bagi beliau mereka sekadar layak ke suku akhir, bukannya menjuarai kejohanan itu. Jika ada yang beranggapan skuad ini sudah layak menggantikan skuad kebangsaan ia adalah satu kesilapan.

Kematangan dalam setiap pemain bawah 23 negara masih belum cukup untuk mereka memikul tugas besar. Beliau lebih cenderung untuk melihat pasukan ini kekal sebagai skuad pelapis. Sebagai pasukan senior, mereka memerlukan dua atau tiga tahun lagi untuk mengambil alih skuad kebangsaan sekarang. Bagaimanapun, Santokh bersetuju jika beberapa pemain muda diserap ke dalam skuad utama sebagai medan pendedahan sambil dibimbing pemain senior.

Adakah dua pendapat yang berbeza ini betul atau salah?. Sukan Malaysia mahu bersikap rasional dengan memberi sedikit panduan dari beberapa kejayaan yang di terjemahkan oleh pasukan lampau.

Sir Matt Busby, insan yang bertanggungjawab membawa pelbagai kejuaraan kepada Manchester United pada era50 an telah memberi pendedahan kepada ramai pemain muda antaranya Mark Jones, Eddie Colman and Duncan Edwards, yang membuat penampilan kepada skuad utama pada umur hanya 17 tahun. Dari keberaninan itu mereka mengecapi kejuaraan pada musim 1956-57 dan dalam tempoh lima tahun kecemerlangan pasukan mudanya beliau hanya membawa masuk 2 pemain utama dalam pasukan iaitu Tommy Taylor dan Harry Greg bagi bersama-sama mengimbangi pasukan mudanya yang rata-ratanya berumur 22 tahun dan telah membuat progress yang begitu cemerlang.

© Khairil Ajhar / SukanMalaysiaDotMY

Busby juga berkata inilah impian semua pengurus pasukan dimana sepatutnya beliau membina pasukan seawal dari umur 15 ke 17 tahun, di mana dengan menguruskan mereka dalam umur begitu, beliau akan mendapat kepercayaan dan kesetiaan pemain dan saling berusaha mencapai kejayaan bersama. Kata-kata beliau yang sering diingati dalam menaikkan pemain muda adalah “Jika mereka cukup bagus, bermakna mereka sudah cukup matang. Kalau kita tidak meletakkan mereka dalam pasukan, kita tidak akan tahu apa yang kita akan dapat”.

Kejayaan Sir Matt Busby menggunakan tonggak pemain muda ini diteruskan oleh Sir Alex Ferguson dengan ramai pemain muda seperti David Beckham, Ryan Giggs, Paul Scholes, Gary dan Philipp Neville yang juga membawa banyak kejuaraan kepada Manchester United dalam era 90an.

Bagi pasukan bawah 23 kita pula sama ada mereka patut diangkat pangkatnya menjadi pasukan senior kebangsaan punya pelbagai sudut untuk di dilihat. Tahap umur 23 tahun sebenarnya adalah dalam tahap umur untuk bermain di peringkat antarabangsa dan sepatutnya telah menjadi antara tonggak pendukung pasukan senior kebanyakan negara. Ianya bukan lagi umur untuk pendedahan, tetapi seperti model dari Sir Matt Busby, mereka patut di seimbangkan dengan beberapa pemain senior (dengan jumlah cap antarabangsa yang banyak) dan masih relevan prestasinya untuk beraksi di peringkat antarabangsa dan cukup matang untuk mempelbagaikan rentak perlawanan mengikut situasi dan arahan yang jurulatih berikan.

Pemain muda seawal umur 17 tahun juga boleh diketengahkan untuk memperlihatkan kesinambungan dan pembangunan bolasepak yang berterusan dalam menyediakan pemain yang berkualiti dan matang ketika mereka berumur 23 tahun nanti. Pele, Ronaldo, Theo Wallcot dan ramai lagi pemain muda sering di ketengahkan oleh pasukan besar dalam Kejohanan besar bagi memberi mereka pengalaman bermakna sebagai mempersiapkan mereka dalam 5 tahun mendatang.

Selain itu cadangan untuk memperbesarkan jumlah pemain dalam pasukan bawah 23 juga amat baik tetapi itu perlu seiring dengan membenarkan mereka beraksi sebagai satu pasukan bersama dalam banyak kejohanan untuk membentuk kesefahaman dan tempo permainan merka yang mantap.

Semoga pencapaian yang dilakukan oleh pasukan bawah 23 negara tidak dibiarkan begitu sahaja dan adalah lebih penting pasukan itu diperbesarkan dan dikekalkan bagi menggali lebih banyak pemain yang bertaraf dunia.