Home / Lain - Lain / Tradisi Bulan Sukan Negara diteruskan di peringkat nasional

Tradisi Bulan Sukan Negara diteruskan di peringkat nasional

Seperti tahun tahun yang lalu Bandar Sukan di Bukit Jalil dipenuhi dengan pelbagai aktiviti sukan dan riadah yang disertai oleh semua peringkat umur.

Antaranya Fun Ride and Run, Dodgeball, E-Sport, Pocket Bike, bola keranjang 3 On 3 dan ujian kecergasan.

Majlis pelancarannya dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN).

Turut berlangsung penyerahan penajaan RM2 juta oleh Yayasan Lee Chong Wei kepada MSN dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk persiapan Olimpik Tokyo 2020 dan pembangunan sukan negara disampaikan Dato Lee Chong Wei sendiri.

Syed Saddiq turut menegaskan kepentingan sumbangan bidang sukan kepada pembangunan negara. Dengan peruntukan hampir RM1 billion dari belanjawan 2020 membuktikan komitmen kerajaan melaksanakan kompenen utama dasar sukan negara yang mahu mewujudkan budaya sukan untuk semua dalam masyarakat.

Bulan Sukan Negara meneruskan tradisinya sejak diperkenalkan pada tahun 2015 bertujuan untuk melahirkan dan menggalakkan masyarakat aktif sukan dan seterusnya menjadikan Malaysia negara bersukan atau Sporting Nation.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang bulan ini di seluruh negara termasuklah di peringkat komuniti, sekolah, institut pengajian tinggi dan juga di peringkat kementerian.