Home / Lain - Lain / TOUR DE SELANGOR : CULEY TERUS SUKAR DICABAR PADA PERINGKAT KEEMPAT PERLUMBAAN

TOUR DE SELANGOR : CULEY TERUS SUKAR DICABAR PADA PERINGKAT KEEMPAT PERLUMBAAN

Kayuhan bertenaga pelumba Sapura Marcus Culey terus sukar dicabar apabila dia sekali lagi merakam penamat solo pada peringkat keempat perlumbaan Tour de Selangor 2019.

Kehebatan Culey jelas gagal dicabar oleh mana-mana pelumba dengan kelebihan masa hampir 10 minit.

Bukan hanya jersi kuning pendahulu keseluruhan, gelaran raja bukit dan raja pecut juga boleh disahkan menjadi milik Culey selepas kutipan masanya sudah tidak boleh diatasi oleh mana-mana pelumba.

Peringkat keempat perlumbaan dari Selayang ke Sungai Besar membabitkan laluan 144.6km turut menawarkan dua zon bukit dan dua zon pecutan.

Seawal perlumbaan pemegang jersi kuning Marcus Culey sudah melakukan pecutan walaupun dikawal ploton besar.

Namun pelumba Terengganu TSG Robin Christopher Hurodo Lopez berjaya melepaskan diri sebelum turut menguasai zon bukit 1 di Rawang.

16 pelumba termasuk Culey membentuk kelompok terdahulu memimpin perlumbaan.

Culey bagaimana pun membuat gerakan solo untuk mengutip mata penuh di zon bukit 2 di Kerling.

Zon pecut 1 di Ulu Bernam Culey terus sukar dicabar dengan mata penuh turut diraih pelumba kelahiran Australia ini di zon pecut 2 di Sungai Panjang.

Lima pelumba meneruskan persaingan menuju penamat di Sungai Besar berbaki 25km terakhir dengan Culey terus memecut.

Kayuhannya cuba dicabar Hurado Lopez namun turut mencuri tumpuan kelibat pelumba Armskins Sofian Nabil Omar Bakri yang terus mempamerkan semangat tinggi untuk meraih podium pertama pasukannya.

Culey sekali lagi membuat penamat solo namun Suffian pula agak sedikit kecewa apabila sekurang-kurangnya menamat aksi di tempat ketiga.

Kejayaan Culey mengutip mata di zon bukit dan zon pecut disamping 15 mata pecut di penamat menyaksikan dia sudah tidak boleh dicabar lagi bagi perebutan raja bukit dan raja pecut.

Paling sensasi catatan 9:53s yang dilakar bagai sudah mengesahkan gelaran juara keseluruhan menjadi milik Culey.

Esok merupakan peringkat terakhir perlumbaan dari Klang ke Shah Alam melengkapkan edisi kedua Tour de Selangor 2019.