Home / Lain - Lain / Tour de Selangor 2019 akan pastikan KPI penganjuran setanding Tour of Peninsular

Tour de Selangor 2019 akan pastikan KPI penganjuran setanding Tour of Peninsular

Kejayaan penganjuran Tour Of Peninsular (TOP) menyaksikan penanda aras tinggi perlu dicapai penganjur-penganjur acara perlumbaan basikal lebuhraya yang lain.

Sasaran ini juga mahu dicapai perlumbaan Tour de Selangor yang memasuki edisi kedua Disember nanti.

Menurut Pengarah Urusan Perlumbaan Noraidiazhar Sulaiman penganjur akan memastikan tiada masalah dari segi hadiah kemenangan selain siaran secara langsung perlumbaan menerusi platform digital.

Memasuki edisi kedua penganjuran tahun ini pembaharuan dari segi laluan turut diperkenalkan dengan membabitkan kesemua sembilan daerah dalam negeri Selangor.

Paling mencabar zon bukit kategori di Jugra memandangkan 90% laluan adalah landai. 20 pasukan akan mengambil bahagian dengan pecahan 12 pasukan benua, 4 pasukan kebangsaan dan 4 pasukan negeri.

Tumpuan pastinya terarah kepada dua pasukan utama negara Terengganu Cycling (TSG) dan Sapura Cycling Team (TSC) yang juga merupakan dua pasukan terbaik Asia bagi musim 2019.

Bagi perlumbaan TDS kelibat Mohd Zawawi Azman paling dinanti selepas dia bergelar juara keseluruhan edisi pertama dua tahun lalu.

Perlumbaan Tour de Selangor akan memulakan kayuhan pada 18 Disember nanti melalui jarak keseluruhan 690.4 km dari Pulau Indah di peringkat pertama menuju ke penamat di Shah Alam pada 22 Disember.