Home / Hoki / TOKYO 2020 : HASRAT MALAYSIAN TIGERS TERKUBUR

TOKYO 2020 : HASRAT MALAYSIAN TIGERS TERKUBUR

Hasrat skuad hoki negara mencuri slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 terkubur apabila Afrika Selatan yang sebelum ini berura-ura mahu menarik diri dari temasya itu membuat keputusan meneruskan saingan di Tokyo nanti.

Perkara itu disahkan timbalan presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Dr S.Shamala selepas mesyuarat ahli persekutuan hoki Asia (AHF) di Kuala Lumpur.

Sebelum ini Majlis Olimpik Afrika Selatan telah menetapkan kriteria ketat enggan membenarkan skuad hoki mereka ke Olimpik Tokyo selepas mereka layak atas tiket juara benua.

Bagaimana pun badan sukan induk negara itu akhirnya mengubah keputusan untuk bersaing bersama 11 lagi pasukan yang layak ke Olimpik dalam kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

Skuad hoki lelaki negara melepaskan peluang keemasan apabila tewas kepada Jepun pada penentuan pingat emas Sukan Asia Jakarta 2018 dan sekali lagi gagal memanfaatkan peluang pada kelayakan terakhir menentang Great Britain November lalu.

Dalam pada itu mesyuarat ahli persekutuan hoki Asia (AHF) yang berlangsung di Kuala Lumpur siang tadi membincangkan merangka pelan dan jadual kejohanan untuk tahun 2020.

Ia termasuk persiapan AHF membantu urusan teknikal acara hoki di Olimpik Tokyo.

Selain itu menurut ketua pegawai eksekutif AHF Datuk Tayyab Ikram fokus utama mesyuarat tertumpu kepada sistem baru ranking pasukan hoki dunia yang diperkenalkan badan dunia persekutuan hoki dunia (FIH).

Sistem baru ini menyamai konsep yang dilaksanakan FIFA dan Majlis Ragbi Dunia dimana perlawanan persahabatan antarabangsa akan mempengaruhi kenaikan ranking dunia.

Sebelum ini dalam sukan hoki kenaikan ranking pasukan bergantung kepada prestasi semasa pasukan dalam kejohanan yang disertai.