Home / Hoki / TNB PIALA TUN ABDUL RAZAK : MELAKA IKUTI JEJAK JOHOR TERSINGKIR DARI SAINGAN

TNB PIALA TUN ABDUL RAZAK : MELAKA IKUTI JEJAK JOHOR TERSINGKIR DARI SAINGAN

Selepas naib juara Johor kandas di peringkat kumpulan kini giliran juara bertahan Melaka pula tersingkir dari saingan Piala Razak.

Dua perlawanan awal peringkat suku akhir lelaki menyaksikan Pahang menewaskan juara empat kali itu dengan keputusan 2-1 untuk bertemu Terengganu di peringkat separuh akhir yang menewaskan Sabah dengan keputusan yang serupa.

Pahang terlebih dahulu di tempat menerusi jaringan bekas penyerang kebangsaan Ismail Abu minit ke-18.

Melaka memulakan suku ketiga dengan baik apabila menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti ketua pasukannya Mohd Firdaus Omar minit ke-35.

Namun kelegaan itu hanya bertahan seketika selepas Pahang membalas dengan gol pemisah kedua-dua pasukan seminit selepas itu juga menerusi gerakan sudut penalti yang disempurnakan oleh Mohd Hafiz Mohd Zahuri.

Kegagalan mengubah jaringan menyebabkan skuad kendalian Azrul Afendi Bistamam itu gagal mempertahankan kejuaraan kali ini.

Dalam kategori wanita Negeri Sembilan tetap boleh menarik nafas lega apabila mara ke peringkat seterusnya sekali pun tewas kepada PDRM dalam aksi terakahir kumpulan C.

Negeri Sembilan menamatkan kempen di tangga kedua hasil dipisahkan dengan perbezaan jaringan berbanding ATM.

Bagi pusingan seterusnya yang bermula Khamis ini Negeri Sembilan diundi dalam kumpulan X dan akan memulakan perebutan tiket ke separuh akhir menentang Pulau Pinang.

Turut berada dalam kumpulan yang sama juara kumpulan B Pahang sementara tiga pasukan lain iaitu juara bertahan Selangor, PDRM dan Kuala Lumpur diletakkan dalam kumpulan Y.

Berdepan dengan pasukan PDRM Negeri Sembilan berjaya mengimbangi kekuatan lawan kekal 0-0 sehingga tamat suku kedua.

Pada minit ke-42 suku ketiga Nurul Afikah berjaya melepasi beberapa pertahanan Negeri Sembilan sebelum percubaannya gagal disekat penjaga gol Negeri Sembilan Norhaslinda Zainal Abidin bagi meletakkan PDRM di depan.

Berbaki 15 minit terakhir kubu Negeri Sembilan terus diasak PDRM namun Negeri Sembilan terus bertahan.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat sepenuh masa dan PDRM ceria bergelar juara kumpulan.