Home / Lain - Lain / TNB PIALA RAZAK 2020 : MHC SUMBANGKAN GERAN SUBSIDI KEPADA PASUKAN

TNB PIALA RAZAK 2020 : MHC SUMBANGKAN GERAN SUBSIDI KEPADA PASUKAN

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini memberikan suntikan semangat kepada pasukan yang beraksi di TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 (Lelaki dan Wanita) apabila menyerahkan geran subsidi kejohanan yang bernilai RM 5000 kepada setiap pasukan.

Sesi penyerahan geran tersebut dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh bersama Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Cik Norfaraha Hashim serta Setiausaha Jawatankuasa Pertandingan KHM, En. Francis Xavier dan Teknikal Delegat Kejohanan, En. Bal Rao.

Kejohanan yang memasuki edisi ke 58 bagi kategori lelaki sementara edisi kelima bagi kategori wanita ini akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 18 hingga 26 September 2020.

Edisi kali ini juga menampilkan 15 pasukan lelaki dan 11 pasukan wanita dengan kejohanan pada tahun ini menjadi lebih menarik apabila tiada had umur ditetapkan selain bagi kategori lelaki tiada pecahan divisyen seperti yang dilakukan dalam edisi-edisi terdahulu.

Menjelang aksi pembukaan esok, satu sidang media diadakan hari ini bersama pasukan yang muncul juara bagi edisi tahun lalu kategori lelaki iaitu pasukan Melaka dan kategori wanita, pasukan Selangor.

Bagi juara bertahan Melaka, mereka menyedari saingan hebat akan diberikan oleh setiap pasukan untuk edisi tahun ini ekoran kehadiran barisan pemain kebangsaan dan tahun ini Melaka diperkuatkan dengan tiga pemain kebangsaan serta tiga pemain dari skuad remaja kebangsaan.

Ketua Jurulatih, Azrul Effendy Bistamam turut berkongsi pasukan bimbingannya hanya mempunyai tempoh masa empat minggu untuk bersedia dan telah menjalani empat perlawanan persahabatan.

“Untuk tahun ini seperti semua sedia maklum pemain kebangsaan juga dibenarkan bermain jadi kami meletakkan sasaran untuk melangkah ke separuh akhir terlebih dahulu dan kemudian kami akan merangka perancangan seterusnya.

“Tempoh perlawanan juga pastinya akan menjadi lebih menarik dan berbeza daripada perlawanan sebelum ini kerana kejohanan ini juga akan dijadikan sebagai landasan untuk mendapatkan tempat di dalam pasukan kebangsaan.

Sementara itu bagi Ketua Jurulatih Wanita pasukan Selangor, Ikmal Abdul Jabar, diperkuatkan dengan lapan pemain kebangsaan merupakan satu cabaran besar buat dirinya dan pasukan bimbingannya.

Justeru beliau mahu pasukannya memberikan tumpuan kepada perlawanan di peringkat kumpulan terlebih dahulu selain mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan

“Saya mempunyai lapan pemain kebangsaan jadi tekanan kepada kami adalah lebih tinggi. Namun kehadiran mereka ini adalah sesuatu yang cukup baik untuk pasukan kerana mereka banyak membantu saya dari segi taktikal serta sistem pasukan.

“Mereka telah faham taktikal dan sistem yang saya terapkan di dalam pasukan jadi mereka banyak membantu untuk menyampaikan maklumat kepada pemain yang lebih muda dan tugas saya untuk membuat pemain muda memahami apa yang saya mahu terapkan menjadi lebih mudah.

Bagi aksi pembukaan esok, pasukan daripada Kumpulan A serta B bagi kategori wanita akan turun beraksi sementara bagi kategori lelaki hanya pasukan Pulau Pinang daripada Kumpulan A tidak akan menyertai aksi pembukaan bersama pasukan-pasukan lain daripada Kumpulan A, B, C dan D.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh bersama juara bertahan tahun lalu bagi kategori lelaki (Melaka) yang diwakili oleh Ketua Jurulatih, Azrul Effendy Bistamam dan Kapten Pasukan, Muhammad Firdaus Omar serta juara bertahan kategori wanita (Selangor) yang diwakili Ketua Jurulatih, Ikmal Abdul Jabar dan kapten, Raja Norsharina Raja Shabuddin dalam sidang media yang berlangsung hari ini.