Home / Hoki / TNB LIGA HOKI MALAYSIA 2020 : UNIKL BENAM CABARAN MAYBANK; TNB KEKALKAN PERSAINGAN

TNB LIGA HOKI MALAYSIA 2020 : UNIKL BENAM CABARAN MAYBANK; TNB KEKALKAN PERSAINGAN

UniKL semakin hampir untuk mengekalkan rekod seratus peratus kemenangan dalam saingan TNB-LHM 2020 musim ini selepas peroleh kemenangan ke-13 berturut-turut dengan mengatasi Maybank 4-0 pada Jumaat.

Selepas mengesahkan gelaran liga buat kali kedua berturut-turut, skuad kendalian Arul Selvaraj itu turun tanpa sebarang tekanan dengan tumpuan lebih kepada kekalkan rekod kemenangan.

UniKL bermula baik apabila mendahului pada minit ke-7 hasil jaringan padang tonggak import dari Belanda, Roel Bovendeert.

Tengku Ahmad Tajuddin kemudian menambah jaringan kedua selepas menyempurnakan gol padang pada minit ke-14.

UniKL terus selesa selepas itu apabila Tengku Ahmad Tajuddin peroleh jaringan peribadi keduanya pada minit ke-25 untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Aksi cemerlang Tengku Ahmad Tajuddin diteruskan dalam suku ketiga apabila dia melengkapkan hatrik menerusi jaringan padang, minit ke-32.

UniKL memperlahankan sedikit rentak permainan mereka dalam suku terakhir dengan keputusan 4-0 itu kekal hingga tamat permainan.

“Memenangi gelaran liga tempoh hari meredakan sedikit tekanan, kami mahu buktikan mengapa kami layak untuk bergelar juara dengan satu lagi aksi yang cukup baik hari ini.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan kemenangan ini serta prestasi pemain yang diharapkan dapat terus kekal untuk aksi terakhir liga nanti,” jelas Arul ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) kekalkan peluang untuk raih kedudukan naib juara liga selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas UiTM.

TNB berada di depan pada minit ke-26 menerusi jaringan padang Muhamad Ramadan Rosli.

Skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu terus selesa apabila Muhamad Aminudin Mohd Zain peroleh jaringan kedua pada minit ke-39 hasil pukulan sudut penalti sekaligus memastikan tiga mata penuh buat TNB.

Manakala TNB Thunderbolts sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 3-3 dengan Kedah/Nurinsafi HT.

Skuad kendalian Nor Azlan Bakar sebelum ini turut diikat dengan kebangkitan Maybank, Rabu lepas tekad ingin lupakan kekecewaan itu dan mendahului pada minit ke-11 menerusi jaringan padang Izzuan Ismail.

Memasuki suku kedua, Thunderbolts menggandakan pendahuluan, kali ini Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul catat nama selaku penjaring.

Disusuli dengan jaringan ketiga oleh Muhammad Muhibuddin Moharam yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-27.

Nurinsafi pula pamer kebangkitan dalam suku ketiga menerusi dua jaringan yang diperoleh Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi dalam tempoh empat minit bagi merapatkan jurang.

Nyata nasib tidak menyebelahi Thunderbolts apabila Nur Rahull melengkapkan hatrik pada minit ke-43 untuk memastikan pasukannya meraih satu mata daripada pertemuan ini.

“Kami hilang tumpuan terutamanya dalam suku ketiga dan keempat sehingga tidak dapat mengekalkan pendahuluan dan kelemahan itu dimanfaatkan lawan untuk mengikat kedudukan.

“Apa pun saya harapkan pemain kekalkan semangat bagi menghadapi aksi terakhir liga berdepan UiTM, Ahad ini, ujar Nor Azlan.

Perlawanan lain menyaksikan Terengganu Hockey Team (THT) tidak berdepan kesukaran untuk menewaskan Hockademy KL dengan keputusan 6-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Jang Jong Hyun pamerkan persembahan cemerlang buat THT apabila meledak hatrik dengan tiga lagi jaringan dihasilkan oleh Muhamad Shahrin Izzuddin Shamsuddin, Muhammad Umar Bhutta serta Faizal Saari.