Home / Hoki / TNB LIGA HOKI MALAYSIA 2020 : TNB KENDURI GOL, THT GAGAL SEKAT UniKL

TNB LIGA HOKI MALAYSIA 2020 : TNB KENDURI GOL, THT GAGAL SEKAT UniKL

UniKL terus kuasai takhta liga selepas mencatat kemenangan kelapan berturut-turut kali ini dengan kemenangan keatas THT 2-0

Manakala TNB yang tewas kepada UniKL dalam perlawanan sebelum itu bangkit menewaskan adik TNB Thunderbolts dengan kemenangan besar 11-2.

Maybank pula terus bangkit menewaskan Hockademy KL 3-2 manakala UiTM tewas kepada Kedah Nurinsafi yang mempamerkan kebangkitan dengan kemenangan kedua berturut-turut dengan jaringan 2-4.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) bangkit daripada kekecewaan tewas kepada UniKL, Jumaat lalu selepas mengatasi TNB Thunderbolts dengan keputusan 11-2 dalam saingan TNB-LHM 2020 yang berlangsung pada Ahad.

Memasuki pusingan kedua liga, TNB tiada pilihan melainkan kemenangan andai ingin mengejar pendahulu, UniKL dan skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin nyata punyai semangat tinggi.

Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan membuka tirai jaringan buat TNB pada minit ke-5 menerusi jaringan padang dengan Mohamad Akhimullah Anuar Esook meledak hatrik dalam perlawanan ini.

Muhammad Arif Syafie Ishak dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pula masing-masing memperoleh dua jaringan dengan Thunderbolts membalas menerusi jaringan Muhammad Muhibuddin Moharam dan Nasrul Syahkhir Sadikul.

Kemenangan ini memberikan TNB 19 mata daripada 8 perlawanan namun masih ketinggalan 5 mata di belakang pendahulu, UniKL.

“Kemenangan ini membangkitkan semula semangat kami selepas dikecewakan UniKL dan kali ini pemain memanfaatkan sepenuhnnya peluang bagi mendapatkan jaringan yang sebelum ini sedikit mengecewakan kami,” jelas Nor Saiful.

Manakala UniKL terus mengekalkan rentak lapan kemenangan berturut-turut dengan mengatasi Terengganu Hockey Team (THT) 2-0 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu.

Perlawanan tumpuan ini menyaksikan THT cuba untuk menyekat rentak kemenangan UniKL untuk cuba merapatkan jurang mata.

Begitupun pelawat lebih menyerlah apabila pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim meletakkan UniKL di depan sebelum jaringan padang Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin mengesahkan tiga mata penuh buat pasukannya.

“Tiga mata dan kemenangan di tempat lawan, THT bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan di tempat mereka sendiri, saya gembira kami masih mampu kekalkan rekod tanpa kalah ini.

“Kemenangan ini juga merupakan hadiah daripada pasukan UniKL kepada pemain kami, Baljit Singh yang tidak menyertai pasukan kerana menyambut kelahiran anak perempuan, hari ini,” jelas pengendali UniKL, Arul Selvaraj ketika dihubungi.

“Saya tidak menjangkakan lawan akan mendapat pukulan sudut penalti yang memberikan gol pertama buat mereka tetapi itu keputusan yang perlu saya terima.

“Kami lebih agresif dalam suku terakhir untuk mendapatkan jaringan dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh UniKL bagi memperoleh gol kedua,” ujar pengendali THT, Muhammad Dharma Raj Abdullah.

Dalam pada itu, Kedah/Nurinsafi HT meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan UiTM dengan keputusan 4-2.

Mereka bagaimanapun ketinggalan seawal minit pertama apabila Miyu Tanimitsu peroleh jaringan buat UiTM.

Nurinsafi pamer kebangkitan selepas itu, dimulakan dengan jaringan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi pada minit ke-17 sebelum Muhammad Azfar Yaqoob memperoleh dua jaringan, satu daripadanya menerusi penalty stroke pada minit ke-25.

Melengkapkan kemenangan Nurinsafi adalah jaringan keempat oleh Mohd Norhafizie Jamil Azomi hasil gol padang, 10 minit sebelum tamat permainan.

Perlawanan lain menyaksikan Maybank memperoleh kemenangan ke-5 musim ini apabila mengatasi Hockademy KL dengan keputusan 3-2

Jaringan Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin, Muhammad Hafizhudin Zaidi serta Joel Samuel Van Huizen membantu kemenangan Maybank sekaligus meraih tiga mata penuh