Home / Bola Sepak / TMJ kekal Pengerusi FMLLP

TMJ kekal Pengerusi FMLLP

Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim

 

Oleh : Ismadi Manap 

JOHOR BAHRU, 25 MAC 2018 – Football Malaysia LLP (FMLLP) hari ini telah mengadakan Kongres Kedua Football Malaysia LLP 2018 yang bertempat di Hotel Phoenix, Forest City yang disertai oleh 24 Ahli Kongres yang mewakili setiap pasukan di dalam Liga Malaysia.

Agenda utama bagi kongres kali ini adalah dengan penggubalan perlembagaan di mana pelantikan jawatan Pengerusi FMLLP dipisahkan dengan pelantikan automatik selepas menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ahli-ahli Kongres FMLLP telah sebulat suara memilih untuk menggubal perlembagaan tersebut melalui undian. Ahli Kongres mencalonkan nama DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dalam Kongres tersebut, namun, tiada pencalonan nama lain dibuat. Maka, DYAM Tunku Ismail kekal sebagai Pengerusi FMLLP tanpa bertanding.

“Saya ingin menasihatkan kepada semua pasukan untuk menjaga dari segi tatatertib dan tidak melakukan kesalahan-kesalahan kecil. Jika ada buat silap, kita ada SOP (System Operating Procedure) untuk dihormati dan tidak boleh menyalahkan pihak FMLLP. Jadi dari segi pentadbiran saya mahukan ada perubahan untuk setiap pasukan. Saya lebih suka membantu dari mendenda, jadi pada masa akan datang saya harap menerima lebih kerjasama dari setiap pasukan.” titah beliau selepas pengumuman sebagai Pengerusi FMLLP.

Turut hadir semasa Kongres Kedua FMLLP 2018 ialah penaja-penaja Liga Malaysia 2018, Puan Siti Farah Diba binti Abdul Ghani (Pengurus Besar Pemasaran Sukan dan Perniagaan Telekom Malaysia), Encik Jason Monteiro (Ketua Pegawai Eksekutif iflix) dan Encik Sandeep Joseph (Ketua Pegawai Eksekutif Ampersand Advisory).

“Kepercayaan pihak penaja terhadap Football Malaysia LLP adalah kerana kewibawaan oleh kepimpinan DYAM Tunku Ismail. Dengan beliau kekal sebagai Tunku Pengerusi FMLLP, saya merasakan lebih banyak kemajuan akan dicapai dengan membawa masuk lebih penajaan seterusnya dapat membantu semua pasukan yang bertanding.” kata Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.

DYAM Tunku Pengerusi FMLLP juga telah mengumumkan pada kongres kali ini bahawa nama Football Malaysia LLP akan ditukar kepada Malaysia Football League (MFL).

Melalui penggubalan perlembagaan pada kongres kali ini, dengan kepimpinan DYAM Tunku Pengerusi, FMLLP akan terus menerajui perubahan-perubahan positif untuk memartabatkan bola sepak negara ke peringkat lebih tinggi.