Home / Lain - Lain / TIRAI SUKAN SEA FILIPINA 2019 DISINGKAP DENGAN PENUH KEKECEWAAN

TIRAI SUKAN SEA FILIPINA 2019 DISINGKAP DENGAN PENUH KEKECEWAAN

Malaysia menutup tirai Sukan SEA Filipina 2019 dengan penuh kekecewaan selepas gagal memenuhi sasaran 70 pingat emas apabila sekadar membawa pulang 56 emas.

Bukan itu saja, kontinjen negara gagal menepati satu lagi sasaran utama iaitu berada dalam kelompok empat terbaik apabila hanya mampu berada di tangga kelima dari 11 negara bertanding.

Selaku ketua kontinjen Malaysia Datuk Megat Zulkarnain Omardin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kegagalan itu.

Namun secara keseluruhan prestasi sukan yang disasarkan pingat emas adalah mengecewakan.

Sebanyak 26 jenis sukan telah disasarkan untuk memenangi 70 pingat emas namun hanya 18 jenis sukan yang berjaya mengumpulkan 50 pingat emas buat Malaysia pada edisi kali ini.

16 sukan diletakkan dalam kategori gagal kerana tidak mencapai sasaran pingat namun 5 sukan yang dikenalpasti paling mengecewakan adalah memanah (1 emas), pelayaran (0 emas), obstacle (0 emas), luncur ais (2 emas) dan boling (2 emas).

Datuk Megat turut menjelaskan pelbagai faktor yang menyumbang kegagalan Malaysia mencapai sasaran yang ditetapkan seperti faktor lokasi pertandingan yang berbeza (Manila, Clark, Subic) sehingga menyebabkan berlakunya pertukaran jadual pertandingan pada saat akhir oleh penganjur.

Namun paling dikesalinya adalah sikap sesetengah persatuan sukan yang tidak realistik meletakkan sasaran sehingga menyaksikan Malaysia kurang 14 emas untuk mencapai angka 70 pingat emas.

8 jenis sukan dilabel sebagai cemerlang apabila melebihi sasaran emas yang ditetapkan iaitu gimnastik artistik (5 emas), badminton (3 emas), dan karate (4 emas), wushu, sukan tarian, catur dan papan selaju.

10 sukan lagi berjaya mencapai sasaran yang diletakkan iaitu terjun (4 emas), skuasy (4 emas), pencak silat (2 emas) dan hoki dewan (2 emas), muay thai, petanque, bola jaring, e-sport, polo dan sepak takraw.

Dengan mengambilkira pencapaian kontinjen negara dalam penyertaan Sukan SEA di luar Kuala Lumpur sejak 28 tahun lalu (1991), pencapaian 55 emas, 58 perak dan 72 gangsa di Filipina 2019 adalah pencapaian ke-7 terbaik selepas Thailand 2007 (68 emas), Singapura 2015 (62 emas), Filipina 2005 (61 emas), Indonesia 2011 (58 emas), Brunei 1999 (57 emas) dan Indonesia 1997 (emas).

Apa jua episod kegagalan yang berlaku di Sukan SEA Filipina 2019, pengorbanan dan jasa setiap atlet pada temasya dwitahunan kali ini tetap perlu dipandang tinggi seluruh peminat sukan tempatan.

Suka atau tidak atlet-atlet negara di Manila telah berjuang sepenuh jiwa sekalipun dihimpit dengan masalah kesesakan luar biasa, venue pertandingan kurang sempurna, dan mutu pengadilan yang berat sebelah.

Secara keseluruhannya sebanyak 26 pingat emas berjaya disumbangkan kontinjen negara di Manila dan ia merupakan antara emas yang paling sukar penah dicapai di pentas Sukan SEA.