Home / Hoki / Tiket terakhir buat skuad hoki negara ke Olimpik Tokyo 2020

Tiket terakhir buat skuad hoki negara ke Olimpik Tokyo 2020

Dua aksi kelayakan Sukan Olimpik 2020 di London menentang Great Britain pada 2 dan 3 November depan diakui cukup sukar buat pemain hoki kebangsaan berdasarkan kelebihan lawan.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagaimanapun tetap optimis skuad negara yang dibarisi pemain berpengalaman memiliki kemampuan untuk mengatasi situasi itu.

Paling penting pemain perlu mempunyai keinginan tinggi untuk kembali beraksi di pentas tertinggi selepas 20 tahun kempunan melakukannya.

Sementara itu pengendali negara Roelant Oltmans menjelaskan ada banyak kemajuan dalam skuad kebangsaan ketika ini.

Jurulatih kelahiran Belanda itu juga tidak mahu mengambil kira rekod pertemuan terdahulu malah menurutnya Malaysia memiliki kemampuan setara jika dinilai prestasi semasa.

“Semua tahu struktur cara kita bermain sekarang dan itu yang paling penting. Sebagaimana semua yang boleh lihat pasukan kita kurang bolos pada waktu ini dan perkara ini membuktikan struktur permainan kita adalah baik”, ujar Oltmans.

Malaysia baru pulang dari jelajah di Korea Selatan menyaksikan mereka mengharungi empat perlawanan ujian di sana dengan keputusan satu kemenangan, sekali seri dan dua kali tewas menentang skuad kebangsaan Korea.