Home / Lain - Lain / TIADA PROGRAM SUKAN BESAR IPT SEHINGGA HUJUNG TAHUN

TIADA PROGRAM SUKAN BESAR IPT SEHINGGA HUJUNG TAHUN

Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia mengakibatkan tiada program sukan besar peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT) akan dijalankan sehingga akhir tahun ini.

Program sukan yang sinonim dengan IPT antaranya Karnival Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) Fasa II, Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) dan Asean University Games (AUG) Thailand.

Ketua Unit Sukan Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr Pekan Ramli berkata, walau bagaimanapun perkara ini akan dirujuk dalam mesyuarat peringkat kementerian pada 20 Mei ini.

Perkara itu dimaklumkan dalam Program Bicara Sukan anjuran Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang disiarkan secara langsung menerusi YouTube UiTM Di Hatiku baru-baru ini.

Empat ahli panel dijemput bagi membicarakan beberapa agenda mengenai impak persediaan semua bahagian sukan IPT mengenai kebiasaan baharu akibat pandemik Covid-19 iaitu Dr Pekan Ramli dari Kementerian Pengajian Tinggi; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Amin Md Taff; Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Sukan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia merangkap Setiausaha Agung, Majlis Sukan Universiti Asia (AUSC) Roestam Effendi Sijar.

Program selama sejam itu turut menampilkan Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad dan dikendalikan moderator yang juga Pegawai Sukan UiTM, Zamri Abd Kahar.

Beberapa isu membincangkan mengenai persediaan IPT dalam menangani kesan pandemik terhadap beberapa perancangan program utama universiti dan kesannya terhadap warga universiti serta orang awam.

Pelaksanaan dan adaptasi kebiasaan dan norma baharu ditekankan oleh ahli panel dalam usaha memastikan aktiviti sukan di peringkat IPT boleh dijalankan mengikut kepada arahan-arahan semasa yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Program bicara sukan anjuran Pusat Sukan UiTM ini adalah kali pertama diadakan dan akan terus diadakan secara berkala bagi membicarakan pelbagai topik sukan membabitkan beberapa ahli panel yang dijemput mengikut kepakaran serta pengalaman masing-masing.