Home / Hoki / Terengganu Kecewakan Pahang Untuk Ke Separuh Akhir

Terengganu Kecewakan Pahang Untuk Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR (24 SEPTEMBER 2019): Pasukan Terengganu meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2019 selepas mengatasi Pahang 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B, saingan Divisyen 1 pada Selasa.

Aksi perlawanan Divisyen 1 Kumpulan B saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2019 membabitkan pasukan Terengganu (jersi putih) dan Pahang (jersi biru).

Terengganu yang juga naib juara tahun lalu bermula baik dengan jaringan menerusi Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-6 di samping pukulan sudut penalti Mohamad Shazwi Rani sebelum kebangkitan Pahang lewat permainan sedikit menggugat rentak.

Satu lagi pertemuan Kumpulan B menyaksikan Kuala Lumpur pamer kebangkitan untuk mengikat Pulau Pinang 3-3 untuk muncul juara kumpulan dengan 7 mata.

Pemain Kuala Lumpur meraikan jaringan sewaktu pertemuan menentang Pulau Pinang pada Selasa

Manakala aksi tunggal Kumpulan A berakhir dengan keputusan 5-5 di antara Johor dan Melaka, menyaksikan masing-masing tamatkan kempen dengan 5 mata dan juga tempat di separuh akhir.

Dalam saingan Divisyen 2, Selangor kekal rekod tanpa kalah untuk kukuhkan penguasaan selepas menewaskan Kelantan 3-1.

Dua jaringan Abdul Rauf Mohd Nazri menerusi pukulan sudut penalti membantu kemenangan skuad kendalian S. Prakash.

Perlis dan Kedah terpaksa berkongsi mata apabila kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2 sementara Negeri Sembilan catat kemenangan tipis 3-2 ke atas ATM.

Bagi kategori Wanita, Selangor kekalkan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan B apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas ATM hasil jaringan Aina Zafifah Mohd Razali untuk muncul juara kumpulan dengan ATM turut kekalkan kedudukan kedua bagi mara ke separuh akhir.

Manakala Melaka mencipta kemenangan 2-1 ke atas Terengganu dalam satu lagi aksi Kumpulan B hasil jaringan Nurul Fezah Khalim dan Nur Aisyah Yaacop.

Dalam Kumpulan A, Kuala Lumpur serta PDRM mengesahkan tempat ke separuh akhir susulan kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Jaringan Hazatul Hudzra Abd Razak lewat permainan membantu Kuala Lumpur atasi Johor 2-1 manakala ATM tidak berdepan kesukaran meskipun terpaksa bangkit dari ketinggalan sebelum tewaskan Pulau Pinang dengan keputusan 2-1.