Home / Bola Sepak / Tengku Amir sedia galas jawatan Presiden FAS

Tengku Amir sedia galas jawatan Presiden FAS

Tengku Amir bersedia mengalas tugas sebagai Presiden FAS yang baru. Gambar oleh Ahmad Fadali © Pristine Work

Oleh : Ismadi Manap
SHAH ALAM 6 Jun 2018: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersedia menerima tanggungjawab menyandang jawatan sebagai Presiden FAS dan menjadi wakil kepada rakyat Selangor untuk membawa lebih kejayaan dan menambah kepada kekayaan sejarah pasukan Selangor.

Menaikkan status melalui akaun rasmi Instagram, Tengku Amir Shah berkata Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak seharusnya duduk dan berdiam diri dalam menghadapi kemelut yang sedia ada ketika ini. Beliau juga mahu FAS bangkit dari khayalan dan melakukan perubahan drastik selain fokus memastikan persatuan itu dan pasukan Selangor untuk terus mara. Beliau percaya inilah masa yang paling sesuai untuk semua pihak bersatu untuk membina kembali FAS.

Kesebelasan utama pasukan Selangor. Gambar Zaid Ayid © SukanMalaysiaDotMY

“Saya menegaskan bahawa perubahan menyeluruh perlu dilakukan demi kebaikan jangka masa panjang FAS, di mana proses perubahan ini pasti akan mendapat tentangan dan mungkin dihalang oleh sesetengah pihak. Namun, saya ingin menekankan bahawa ini bukannya masa untuk mengadu domba atau pun mencari kesalahan silam. Sememangnya hal ini akan mengambil masa, akan tetapi dengan pasukan yang sesuai dan sokongan padu yang diterima terutamanya daripada penyokong, saya tidak meragukan pasukan kesayangan rakyat negeri Selangor ini dapat mencapai kegemilangan seperti dahulu kala,” katanya.

“Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sekiranya semua stakeholder terutamanya penyokong Gergasi Merah Kuning bersedia untuk bersama saya melalui onak dan duri perjalanan, saya sedia untuk berkhidmat demi cinta terhadap Selangor dan rakyatnya ‘kata Tengku Amir Shah.