Home / Bola Sepak / Tan Cheng Hoe umumkan 27 pelatih kem latihan pusat pasukan kebangsaan

Tan Cheng Hoe umumkan 27 pelatih kem latihan pusat pasukan kebangsaan

Ketua Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe telah menyenaraikan 27 pemain untuk kem latihan pusat pasukan negara yang bakal bermula Ahad ini.

Ujian pertama pasukan kebangsaan adalah bertemu Jordan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 Ogos dan seterusnya dua aksi awal Kumpulan G bagi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 berdepan Indonesia Gelora Bung Karno Jakarta pada 5 September dan bertemu UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September nanti.

Daripada senarai 27 pemain itu Cheng Hoe mengekalkan 18 pemain dari skuad 23 pemain yang membantu skuad Harimau Malaya menyingkirkan Timur Leste menerusi aggregat 12-2 pada aksi timbal balik pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022 Piala Asia 2023 menerusi kemenangan 7-1 pada aksi di tempat sendiri pada 7 Jun dan kemenangan 5-1 pada aksi tempat lawan pada 11 Jun dengan kedua-duanya berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ia sekaligus menyaksikan 5 pemain digugurkan untuk panggilan kali ini iaitu Syazwan Andik Ishak (JDT), Faisal Abd Halim (Pahang), Syazwan Zainol (Selangor), Kenny Pal Raj (Perak) dan penjaga gol Zaif Irfan Hashimuddin (PKNS FC).

Sebagai ganti Cheng Hoe memanggil 9 pemain baru termasuk penjaga gol Hafizul Hakim Khairulnizam (Perak), Syahmin Safari (Selangor) yang sebelum ini diketepikan pada panggilan skuad kebangsaan Julai lalu kerana kecederaan.

Bagi 7 pemain baru pula terdiri dari J.Partiban, Nazirul Naim dan Brendan Gan (Perak), 2 pemain FELDA United iaitu Hadin Azman, Danial Amirul Nohisham serta Ahmad Hazwan Bakri (JDT) dan Jaffri Firdaus Chew (PKNS FC).

Sementara itu 5 pemain diletakkan dalam senarai bersedia jika terdapat mana-mana pemain dikalangan 27 pemain itu mengalami kecederaan.

Selepas perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Jordan, Cheng Hoe akan mengumumkan senarai akhir 23 pemain untuk dibawa ke Jakarta bagi menghadapi perlawanan sulung pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Indonesia pada 5 September nanti.