Home / Bola Sepak / #SukanAsia: 1 minit menghancurkan harapan Malaysia

#SukanAsia: 1 minit menghancurkan harapan Malaysia

Pemain Malaysia kecewa setelah gagal untuk ke suku akhir apabila tewas kepada Jepun 0-1. Gambar oleh Mohd Khairol Rizal © CSN

BEKASI, Indonesia 24 August 2018 : 1 minit terakhir perlawanan bolasepak pusingan kedua diantara pasukan Malaysia dan pasukan Jepun ternyata menghancurkan harapan pasukan Malaysia untuk melangkah ke suku akhir Sukan Asia 2018 apabila tumbang 0-1 kepada Jepun.

Pemain pertahanan negara, Dominic Tan menjatuhkan Ayase Ueda dalam kotak penalti pada minit ke-89 dalam keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol Malaysia untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada Jepun. Ayase tenang menewaskan Haziq Nadzli untuk membawa pasukan Jepun ke suku akhir di Stadium Patriot Chandrabhaga.

Pemain Malaysia cuba melepasi benteng pertahanan Jepun. Gambar oleh Mohd Khairol Rizal © CSN

Walaupun tewas dan gagal ke suku akhir, aksi permainan pasukan Malaysia wajar dipuji apabila pemain mempamirkan permainan yang berdisplin tinggi ketika bertahan dan sesekali melakukan serangan ke pintu gol Jepun.

Jepun dilihat lebih banyak  menguasai permainan apabila mencipta sejumlah peluang dan pasukan Samurai Biru seringkali menghadirkan gerun kepada gawang negara namun mereka dihampakan dengan disiplin tinggi pemain negara serta ketangkasan Haziq di gawang.

Malaysia turut cuba mengimbangi penguasaan Jepun dengan melakukan beberapa gerakan yang mencemaskan lawan kendalian Hajime Moriyasu.

Peluang terbaik pasukan Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee membuka jaringan adalah menerusi percubaan Syafiq Ahmad pada minit ke 72, namun tandukannya melepasi palang gol dan dua cubaan Safawi Rasid yang mengegar tiang dan palang Jepun ketika perlawanan berbaki 10 minit.