Home / Lain - Lain / Sukan SEA Filipina 2019 : Hoki dalam air sasar pingat gangsa ; renang optimis pertahankan 3 emas

Sukan SEA Filipina 2019 : Hoki dalam air sasar pingat gangsa ; renang optimis pertahankan 3 emas

Pasukan hoki dalam air negara tetap bernada positif untuk memberi cabaran pada Sukan SEA Filipina meski pun ini merupakan penampilan sulung mereka di pentas antarabangsa.

Pertama kali sukan hoki dalam air dipertandingkan pada temasya dwitahunan ini, skuad negara menyasarkan sekurang-kurangnya pingat gangsa pada penyertaan sulung menyertai pertandingan kompetitif di peringkat antarabangsa.

Walaupun membariskan pemain muda menyertai empat kategori yang dipertandingkan, jurulatih Adrian Stuart tetap optimis Malaysia mampu memberi cabaran.

“Pencabar terkuat saya rasa Singapura kerana mereka telah bermain dalam jangka masa begitu lama begitu juga pasukan Indonesia dan Filipina. Mereka mempunyai beberapa atlet yang sudah bermain lebih lebih dari 10 tahun atau lebih dari itu manakala barisan atlet kita hanya setahun atau enam bulan”, ujar Adrian selaku pengendali skuad negara.

Barisan negara akan menggalas tugas dalam empat acara yang akan dipertandingkan iaitu kategori lelaki 6 on 6 dan 4 on 4. Kategori wanita juga turut mengambil bahagian dalam acara 6 on 6 dan 4 on 4.

Sementara itu ketua jurulatih renang negara Christopher Martin meletakkan sasaran mempertahankan tiga pingat emas dengan meletakkan jaguh renang kebangsaan Welson Sim sebagai sandaran utama bagi mencapai misi itu.

Bagaimanapun Martin akui persiapan pasukan sedikit terjejas ekoran venue perlawanan tidak dapat diuji awal sebelum pertandingan sebenar berikutan tuan rumah hanya membenarkan semua pasukan menjalani latihan dua hari sebelum acara renang membuka tirai.

Seramai 15 atlet bakal menggalas cabaran negara bermula 4 Disember nanti menerusi 54 acara akan disertai barisan negara bagi kategori lelaki dan kategori wanita.