Home / Lain - Lain / Sukan mendaki medan cungkil bakat baharu

Sukan mendaki medan cungkil bakat baharu

PUTRAJAYA : Kejohanan Mendaki Tembok Tiruan Antara Universiti atau Varsiti Artificial Wall Climbing (VAWC) 2018 yang berlansung di Taman Cabaran Putrajaya baru-baru ini berjaya menarik penyertaan 100 pelajar universiti awam dan institusi pendidikan tinggi swasta seluruh negara.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia ini dibahagikan kepada tiga disiplin utama iaitu Lead, Boulder dan Speed  bagi kategori lelaki dan wanita.

Pengarah kejohanan, Mohd Rizal Hashim merangkap Penolong Pegawai Sukan Pusat Pembangunan Sukan UIA berkata kejohanan ini bertujuan menarik minat generasi muda khususnya pelajar  universiti untuk menyertai acara sukan lasak yang mampu meningkatkan kemampuan fizikal dan mental peserta.

Beliau berharap kejohanan ini bakal menjadi medan terbaik bagi mengetengahkan bakat baharu dalam sukan mendaki seterusnya melahirkan lebih ramai atlet bagi mewakili negara di masa hadapan.

“Walaupun dianggap sukan lasak, wall climbing sebenarnya sukan yang tidak sukar untuk dicuba asalkan ada pengetahuan mengenai teknik dan kemahiran asas tertentu.

“Paling penting mereka yang minat untuk mencuba perlu memiliki disiplin dan tahap mental tinggi selain sentiasa beruasaha meningkatkan kekuatan fizikal tangan serta kaki,” katanya.

Dalam kejohanan empat hari yang memasuki musim ketujuh ini, dalam disiplin Lead (Wanita) telah dimenangi oleh Rebecca Kinghorn dari Heriot-Watt University diikuti dengan Wan Athirah Hidayah Ahmad Fuzli dari Multimedia University di tempat kedua dan Nuratiqah Abd Uloom dari Universiti Pendidikan Sultan Idris di tempat ketiga.

Bagi kategori lelaki, tempat pertama diraih oleh Ku Muhammad Faridhwan Ku Aziz dari Multimedia University diikuti oleh Muhamad Zahin Mohd Ashar dari Universiti Kebangsaan Malaysia di tempat kedua. Tempat ketiga menjadi milik Muhammad Abdul Haq Mansor dari Universiti Islam Malaysia.

Dalam disiplin Boulder, peserta dari UPSI iaitu Nuratiqah Abd Uloom mendapat tempat pertama diikuti dengan Ho Jia Min dari Monash University di tempat kedua. Tempat ketiga menjadi milik Nur Hidayah Khairil Amar dari UKM.

Kategori lelaki pula menyaksikan Muhamad Zahin Mohd Ashar dari UKM memperolehi tempat pertama diikuti peserta dari Multimedia University iaitu Ku Muhammad Faridhwan Ku Aziz di tempat kedua. Peserta dari UTEM iaitu Muhammad Idham Zali menduduki tangga ketiga.

Speed, disiplin ketiga yang dipertandingkan menyaksikan dominasi peserta dari Multimedia University yang memenangi tempat pertama bagi kategori lelaki dan wanita iaitu Ku Muhammad Faridhwan Ku Aziz dan Wan Athirah Hidayah Ahmad Fuzli. Wakil dari Politeknik iaitu Kevin Eddie Fred menduduki tempat kedua diikuti dengan Mohamed Syafiq Mohamed Alipah juga dari Multimedia University di tangga ketiga.

Nuratiqah Abd Uloom dari UPSI meraih tempat kedua bagi kategori Speed wanita diikuti dengan Nas Shareenna Nazri di tempat ketiga.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan dengan gemilang oleh Encik Tony Azman Hassan, Ketua Penolong Pengarah Setiausaha Bahagian Sukan dengan diiringi oleh Tuan Haji Jamaluddin Mohamed Yusoff merangkap Presiden Persatuan Mendaki Malaysia.