Home / Bola Sepak / Sri Lanka siap siaga kejutkan Harimau Malaya

Sri Lanka siap siaga kejutkan Harimau Malaya

Sri Lanka sedia membuat kejutan menentang Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa kelas A sekalipun mengetahui reputasi baik skuad Tan Cheng Hoe itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jelas ia merupakan amaran awal buat skuad negara agar tidak terlalu yakin atau memandang rendah kemampuan lawan sekaligus mengelak dari keputusan memakan diri.

Ini kerana pasukan Asia Selatan itu sedang melalui fasa peningkatan prestasi sejak tewas 1-4 kepada pasukan kebangsaan tahun lalu.

“Kami sudah meningkat sejak melawan Malaysia. Ini juga kali pertama Sri Lanka beraksi di pusingan 2 dalam tempoh 16 tahun dan merupakan salah satu pencapaian terbaik sejak saya mengambil alih pasukan setahun 8 bulan yang lalu”, ujar jurulatih Sri Lanka Nizam Packeerali dengan nada optimis.

Walaupun berada di ranking ke-202 FIFA ketika ini, Sri Lanka hadir ke Maaysia dengan motivasi tinggi bersama gandingan pemain berpengalaman dan muda.

Pasukan yang mendapat jolokan Golden Lion itu sedia untuk menjayakan ramuan pasukan bagi mencari suntikan moral menyambung pusingan dua kelayakan Piala Dunia 2020 / Piala Asia 2023 menentang Korea Selatan minggu depan.

Ianya merupakan aksi kedua Sri Lanka dalam tempoh setahun selepas skuad negara bangkit dari ketinggalan satu gol untuk menewaskan lawan 4-1 dalam aksi persahabatan di Colombo.

Cuma barisan yang diturunkan kali ini mungkin berbeza memandangkan Harimau Malaya menghadapi krisis kecederaan pemain selain turut mempunya satu lagi perlawanan penting menentang Vietnam di tempat lawan lima hari berselang.

“Perasaan bercampur-campur kerana kita mahukan keputusan yang baik dalam masa yang sama perlu mengembalikan momentum baik permainan seperti yang semua saksikan dalam dua perlawanan terakhir. Apa apa pun kita juga perlu berikan peluang bermain kepada mereka yang dipanggil ke kem kebangsaan”, ujar Tan Cheng Hoe.

Sementara itu, pencarian siapakah yang bakal membarisi pasukan kebangsaan nampaknya terus menjadi perhatian. Tan Cheng Hoe dan barisan kejurulatihan mempunyai 26 orang pemain ketika ini tetapi tiga daripanya dibelenggu kecederaan.

Mohd Nor Azam Abd Azih, J.Partivan dan Mohd Shahrel Fikri hampir pasti tidak dapat diturunkan kerana masih belum cergas sepenuhnya.

Justeru itu Tan Cheng Hoe bakal menurunkan pemain yang jarang diturunkan sebagai pengganti membentuk kombinasi baru bagi persediaan awal melawan Vietnam 10 Oktober depan.