Home / Hoki / Speedy Tigers bakal diuji kelab Belanda sebagai persiapan terakhir kelayakan Olimpik

Speedy Tigers bakal diuji kelab Belanda sebagai persiapan terakhir kelayakan Olimpik

Selepas Perancis menolak perlawanan persahabatan menentang skuad hoki kebangsaan baru-baru ini ketua jurulatih negara Roelant Oltmans akhirnya boleh menarik nafas lega apabila Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berjaya mengatur dua perlawanan persahabatan menentang kelab Belanda pada 20-29 Oktober ini.

Dua perlawanan itu sudah memadai buat Speedy Tigers memandangkan perlawanan Play Off terakhir kelayakan Sukan Olimpik 2020 menentang Great Britain awal November nanti akan berlangsung dalam cuaca sejuk.

“Kami beraksi menentang dua pasukan kelab. Bloemendaal dan Hermes HC merupakan pasukan yang kuat. Anda boleh bandingkan mereka dengan banyak kelab. Mereka juga mempunyai pemain bertaraf antarabangsa. Jadi mereka sangat kuat”, ujar Roelant.

Sebelum berangkat ke Belanda skuad lelaki kebangsaan akan berlepas ke Korea dari 19-29 September ini.

Difahamkan skuad lelaki kebangsaan akan mengharungi empat perlawanan persahabatan menentang pasukan kebangsaan Korea.

Ia menjadi medan terakhir buat Roelant menyenaraikan 18 pemain terbaik yang layak mewakili negara dalam perlawanan kelayakan terakhir Sukan Olimpik 2020 menentang Great Britain di London awal November nanti.