Home / Hoki / SKUAD PROJEK KHAS LELAKI DAN WANITA MULA JALANI LATIHAN ISNIN

SKUAD PROJEK KHAS LELAKI DAN WANITA MULA JALANI LATIHAN ISNIN

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak (tengah) mempengerusikan sidang media hari ini bersama Ketua Jurulatih Skuad Projek Khas Wanita, Nasihin Nubli Ibrahim (kiri) dan 
Ketua Jurulatih Skuad Projek Khas Lelaki, Wallace Tan (kanan)

Skuad Projek Khas Lelaki dan Wanita akan memulakan sesi latihan pusat pada Isnin (5 Oktober) dengan 26 pelatih bagi skuad lelaki sementara 30 pelatih bagi skuad wanita mempunyai misi yang sama iaitu memastikan tempat mereka dalam senarai akhir 25 pemain Skuad Projek Khas Lelaki dan Wanita.

Bagi Skuad Projek Lelaki, menerusi senarai yang dikeluarkan, empat pemain dipanggil untuk mengisi posisi penjaga gol sementara lapan pemain pertahanan, tujuh pemain di bahagian tengah dan tujuh lagi di posisi penyerang.

Skuad kendalian Wallace Tan yang mempunyai baki kurang tiga bulan untuk menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia di Dhaka Bangladesh pada 21 Januari hingga 30 Januari 2021 itu juga akan menampilkan enam wajah baru sementara lebihan 20 pemain adalah mereka yang telah bersama pasukan sebelum ini.

Menurut Jurulatih Wallace Tan, pemilihan pemain adalah berdasarkan penelitian keseluruhan bermula daripada latihan pusat yang telah dijalankan sebelum ini termasuk prestasi yang ditampilkan oleh pemain-pemain ketika beraksi di Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2020, baru-baru ini.

“Saya memilih pemain bukan hanya berdasarkan kepada prestasi yang mereka tampilkan ketika Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak baru-baru ini, tetapi saya melakukan penilaian keseluruhan termasuk ketika mereka menjalani latihan pusat sebelum menyertai kejohanan tersebut.

“Saya juga melihat kepada bakat yang dimiliki oleh pemain-pemain tersebut serta skill yang telah mereka tunjukkan selain kerja keras mereka untuk memastikan mereka layak untuk dipanggil bagi menyertai skuad pemilihan fasa terakhir,” jelas Wallace Tan.

Dalam senarai bagi Skuad Projek Wanita pula, empat pemain dipanggil bagi posisi penjaga gol, 12 pemain pertahanan, enam pemain di posisi tengah dan lapan pemain penyerang sementara daripada 30 senarai pemain yang dikeluarkan, enam daripadanya merupakan pemain senior.

Tiga pemain iaitu, Anis Nurfatihah Binti Asmidee (Selangor), Nur Hazlinda Binti Zainal Abidin (Negeri Sembilan) dan Iren Binti Hussin (Sabah) antara eajah baru dipanggil bagi sesi pemilihan pemain oleh Ketua Jurulatih Skuad Projek Khas Wanita, Nasihin Nubli Ibrahim, dalam rangka persiapannya menjelang Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Wanita), Donghae, Korea Selatan yang dijadualkan berlangsung 31 Mac hingga 6 April 2021.

Bagi Jurulatih Nasihin Nubli, beliau memilih pemain yang telah menunjukkan persembahan yang konsisten ketika beraksi di Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 selain menitikberatkan usia yang lebih muda, bersesuaian dengan misinya untuk membentuk satu pasukan yang mantap bagi jangka masa panjang.

“Kebanyakan pemain yang dipilih adalah dalam purata umur 21 tahun yang mana mereka ini adalah pemain yang sesuai untuk dibentuk bagi jangka masa panjang. Saya juga melihat prestasi pemain-pemain ini sepanjang mereka beraksi di Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak baru-baru ini.