Home / Lain - Lain / Skuad memanah yakin gapai sasaran di Sukan SEA Filipina

Skuad memanah yakin gapai sasaran di Sukan SEA Filipina

Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (PMKM) yakin mampu mencapai sasaran lima emas pada temasya Sukan SEA Filipina.

Pengarah Teknikal Kejurulatihan NAAM, Lee Jae-Hyung, berpandangan atas dasar prestasi semasa atlet, sasaran itu realistik untuk dijadikan motivasi kepada anak didiknya, sekali gus dapat menyamai pencapaian edisi 2017 di Kuala Lumpur. 

Untuk rekod, skuad memanah negara berjaya mara ke lapan acara final dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan meraih lima pingat emas, tiga perak dan dua gangsa, sekali gus muncul juara keseluruhan acara sukan berkenaan.

Tiga daripada lima pingat emas skuad memanah adalah menerusi acara compound berpasukan lelaki, berpasukan wanita dan berpasukan campuran manakala dua lagi pingat emas menerusi acara recurve berpasukan lelaki dan wanita.

Dalam pada itu, Skuad memanah negara perlu bersedia menghadapi saingan Sukan SEA 2019 Filipina dalam cuaca berangin yang dijangka berlaku di lokasi pertandingan berhampiran pantai.

“Kita kena sediakan pemanah kita untuk menghadapi pertandingan dalam keadaan angin kuat. Namun begitu pada September ini ada pertandingan ujian pra Sukan SEA di venue di Filipina”, kata Lee Jae-hyung.

Acara memanah bakal diadakan di Mabalacat dekat Clark, kira-kira 90 kilometer dari ibu kota Manila.