Home / Hoki / SKUAD HOKI WANITA KEBANGSAAN TERPAKSA MENUNGGU SEHINGGA HUJUNG JULAI

SKUAD HOKI WANITA KEBANGSAAN TERPAKSA MENUNGGU SEHINGGA HUJUNG JULAI

Skuad hoki wanita kebangsaan perlu menunggu sehingga hujung Julai ini untuk memulakan sesi latihan biarpun skuad lelaki bakal turun menjalani latihan tanpa kontak bermula Rabu hadapan.

Ini adalah kerana Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mahu terlebih dahulu menyelesaikan pemilihan ketua jurulatih baharu yang tertangguh sejak April lepas sebelum latihan pasukan dimulakan.

Timbalan presiden KHM Dr. S.Sharmala yakin proses pemilihan jurulatih yang tergendala ekoran pandemik Covid-19 sejak Mac lalu dapat diselesaikan dalam masa sebulan lagi apabila pihaknya menyambung kembali proses temuduga minggu hadapan.

Keperluan jurulatih ini penting untuk pemilihan pemain dan perancangan pasukan untuk empat hingga lapan tahun.

Bagi calon tempatan KHM sudah menemuduga 10 hingga 11 calon manakala 12 calon dari luar negara belum lagi dapat diadakan.

Sementara itu bagi skuad senior lelaki serta remaja lelaki dan wanita bakal memulakan latihan pada 5 Julai ini perlu mengikuti prosedur operasi standart (SOP) yang ketat sebagai langkah keselamatan.

Antara SOP adalah seperti membuat calitan selepas melapor diri kem kebangsaan, menyahkuman kawasan latihan dan peralatan, berlatih dalam beberapa kumpulan kecil dan menjaga penjarakan sosial pada setiap masa.

Tambah Dr.Sharmala ketua jurulatih skuad lelaki Roelant Olthmans akan tiba dari Belanda esok. Bagaimanapun pembantunya Amir Rahim dan Nasihin Nubli akan mengendalikan pasukan sepanjang tempuh kuarantin jurulatih berusia 66 tahun itu nanti.