Home / Hoki / SKUAD HOKI KEMBALI MENJALANI ARAHAN PADA BULAN JUN

SKUAD HOKI KEMBALI MENJALANI ARAHAN PADA BULAN JUN

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan skuad hoki kebangsaan akan kembali memulakan latihan pada 1 Julai ini.

Ia akan mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan melibatkan latihan tanpa sentuhan berjarak 3 hingga 5 meter.

Keputusan itu dimaklumkan presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal selepas mesyuarat exco kali keempat Konfederasi Hoki Malaysia.

Menurut beliau lagi satu mesyuarat mengenai SOP yang lebih jelas akan diadakan dalam masa terdekat dengan dihadiri wakil Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Perbadanan Stadium Malaysia.

Buat masa ini ketua jurulatih hoki kebangsaan Roelant Oltsman masih berada di Belanda. Kemasukan Roelant ke Malaysia juga perlu mengikut SOP kerajaan bagi individu dari luar negara.

Begitu pun MHC memberi jaminan Roelant akan berada di Malaysia pada 1 Julai.

Dalam perkembangan lain MHC mengumumkan hanya satu perlawanan skuad lelaki iaitu kejuaraan trofi Juara Juara Asia yang akan diteruskan pada bulan November di Dhaka Bangladesh.

Kejohanan bagi wanita dan remaja belum diumumkan pihak Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Bagi kejohanan tempatan MHC sedang merangka dan merancang untuk meneruskan Liga Hoki Remaja Piala Razak dan juga kejohanan hoki dalam dewan yang bakal berlangsung buat kali pertama pada bulan Oktober nanti.

Mengenai isu pembayaran wang kemenangan Liga Hoki Malaysia musim lalu yang tertangguh MHC berjanji akan diselesaikan dan dibayar kepada pasukan dalam bulan ini.