Home / Badminton / SKUAD BADMINTON NEGARA LAPOR DIRI DI AKADEMIK BADMINTON MALAYSIA BAGI KEM LATIHAN FASA PERTAMA RTT

SKUAD BADMINTON NEGARA LAPOR DIRI DI AKADEMIK BADMINTON MALAYSIA BAGI KEM LATIHAN FASA PERTAMA RTT

Seramai 38 individu termasuk pemain, jurulatih, pegawai perubatan dan pegawai sokongan melaporkan diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara bagi fasa pertama kem latihan pusat program Road To Tokyo (RTT).

Daripada jumlah itu 9 adalah pemain yang berada di bawah program RTT termasuk pemain badminton Para manakala 9 lagi sebagai rakan sepelatih.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican terlebih dahulu meninjau persiapan di ABM sebelum kemasukan pemain dan jurulatih badminton negara.

Seramai 7 jurulatih terbabit pada kem latihan kali ini manakala selebihnya adalah 6 pegawai perubatan dan 7 pegawai sokongan.

Kem latihan ini adalah yang pertama sejak kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu yang mana semua latihan atlet negara terpaksa ditangguhkan susulan penularan wabak pandemik Covid-19.

Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia jelas teruja dapat kembali menjalani latihan selepas hampir 3 bulan terpaksa berkurung di rumah susulan PKP yang kini memasuki fasa kelima.

Selain skuad badminton negara yang menjalani latihan di ABM, skuad pelayaran negara yang berada di bawah program RTT turut melaporkan diri di pusat latihan perahu layar di Langkawi pagi tadi.