Home / Lain - Lain / SIPMA medan lahirkan atlet cemerlang

SIPMA medan lahirkan atlet cemerlang

Penganjuran Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) untuk kali kelapan dari 17 hingga 24 Ogos depan di sekitar Lembah Klang diharap mampu melahirkan lebih banyak atlet cemerlang terutama di pentas antarabangsa.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, pihaknya akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada penganjuran kejohanan sukan yang membantu kepada pembangunan sukan di insititusi pendidikan.

“Ia dilihat mampu meneruskan kecemerlangan prestasi atlet negara di peringkat tertinggi termasuklah di Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN, Sukan Universiti ASEAN, Sukan Universiti Dunia, Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

“Kejayaan ratu gimnas negara, Amy Kwan Dict Weng dari Universiti Malaya (UM) yang dinobat sebagai Olahragawati Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2018 membuktikan bahawa atlet yang berada di institusi pendidikan mampu berada pada tahap pencapaian tertinggi sukan negara.

“Selain itu, Cheong Jun Hoong (UPM) dan Pandelela Rinong (UM) dari sukan terjun turut terpilih sebagai pasukan terbaik wanita kebangsaan di anugerah itu.

“Momentum kejayaan seperti inilah yang perlu kita kekalkan agar matlamat KPM untuk turut sama dalam mencipta kecemerlangan sukan negara dapat diperkukuhkan,” katanya pada majlis perasmian SIPMA semalam.

Beliau berkata, penyertaan pelajar di SIPMA akan memberi satu ruang yang sangat luas kepada atlet muda bersaing dalam satu kejohanan sukan yang sangat kompetitif.

“Selain itu, SIPMA 2019 juga akan menjadi satu medan untuk atlet memperlihatkan kebolehan dan potensi mereka bersaing ke satu peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Turut berlangsung semalam majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) bermula 3 hingga 14 Julai depan di Napoli, Itali.

Kontinjen negara akan disertai 35 atlet serta 22 pegawai dengan sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya satu pingat tanpa mengira warna.