Home / Lain - Lain / Silat hanya sasar 2 pingat emas pada temasya di Filipina

Silat hanya sasar 2 pingat emas pada temasya di Filipina

Persatuan Silat Kebangsaan bakal pertaruhkan 90% muka baru pada Sukan SEA Filipina kali ini.

Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata pihaknya yakin sasaran dua pingat emas mampu dicapai dengan persiapan akan bermula Julai ini.

Tambahnya dua jaguh negara Mohd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohd Nasir tidak tersenarai ke kejohanan tersebut kerana kategori mereka tidak dipertandingkan.

Temasya di Filipina kali ini menyenaraikan lima acara silat olahraga dengan tiga daripadanya adalah Kelas Putra A, C dan D serta kategori Putri hanya mempunyai dua acara iaitu Kelas A dan B. 

Dalam kategori silat seni pula, pasukan tuan rumah sekadar menyenaraikan empat acara – Jurus Tunggal Putra, Ganda Putra, Tunggal Putri dan Regu Putra.

Megat berkata, satu pemilihan pesilat yang akan mewakili skuad kebangsaan bakal diadakan pada minggu depan atau selambat-lambatnya seminggu sebelum Aidilfitri sebagai persediaan beberapa kejohanan utama tahun ini termasuklah Kejohanan Silat Asia pada 18-23 Disember ini di Chengdu, China yang akan diadakan selepas Sukan SEA.