Home / Lain - Lain / SIC + Hafizh Syahrin55 = Jenama Malaysia

SIC + Hafizh Syahrin55 = Jenama Malaysia

Aksi Hafizh Syahrin dalam pusingan catatan masa di litar antarabangsa Sepang hari ini. Gambar oleh Arep Kulal / SIC

Oleh: budak tingkat 4

Litar Sepang bergegar lagi minggu ini….saban tahun, kemeriahan perlumbaan MotoGP mencuri perhatian bukan sahaja peminat sukan permotoran di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Litar antarabangsa sepang, yang di reka oleh jurutera berbangsa Jerman,bekas pelumba dan juga arkitek, Herman Tilke mula beroperasi pada 1999 dengan perlumbaan F1 edisi sulung menyaksikan pelumba Ferrari, Eddie Irvine muncul juara. Perlumbaan MotoGP Malaysia yang bermula dari Shah Alam ke Johor Baharu seterusnya ke Sepang sejak itu hingga kini, menyaksikan bagaimana Kenny Roberts Jr muncul juara pertama perlumbaan MotoGP di  Sepang. Beliau kemudiannya mempertahankan kejuaraannya pada tahun 2000. Nama – nama besar lain termasuk Loris Capirossi, Max Biaggi, Casey Stoner, Dani Pedrosa, Valentino Rossi dan sensasi kini, Marc Marquez turut pernah menjulang kejuaaran di Litar sejauh 5.543 kilometer ini.

Litar Antarabangsa Sepang merupakan salah satu contoh pengurusan yang baik. Tidak perlu banyak campur tangan luar, meskipun ianya sebuah syarikat berkaitan kerajaan, SIC berkembang dengan positif saban tahun, bukan sahaja “hidup” ketika MotoGP, tetapi ianya sentiasa aktif sepanjang tahun dengan pelbagai aktiviti sukan permotoran.

Namakan apa sahaja, hampir semua perlumbaan berlangsung di sini seperti Le Mans, Asia Road Race, 1000km Endurance Race, Go-Kart dan yang terbaru E-Championship, perlumbaan simulator yang semakin menjadi kegilaan peminat sukan permotoran.

Apa yang lebih menarik, SIC sentiasa mesra pengguna. Litar bertaraf antarabangsa ini bukan hanya boleh dilihat oleh peminat, malah mereka boleh merasai sendiri pengalaman memandu atau menunggang motosikal malah berbasikal di atas litar ini pada setiap hujung minggu menerusi program ‘track day’.

Peminat menyerbu gerai jualan barangan Hafizh Syahrin di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. Gambar / AFIQ HAMBALI © SIC

Inilah salah satu model perniagaan yang boleh dicontohi oleh venue-venue lain terutamanya Velodrome Nasional (basikal) yang secara umumnya memiliki ramai peminat di Malaysia. Buka kepada khalayak, agar ianya sentiasa dekat dihati mereka.

Dari segi penyelenggaraan, SIC nyata belajar dari pengalaman. Cuaca khatulistiwa yang tidak menentu, serta musim monsoon yang sering menghantui perlumbaan baik F1 mahupun MotoGP, ianya di luar kawalan manusia. Namun SIC sentiasa bersedia. Sepanjang penganjuran F1 sejak 1999 sehingga 2018, hanya sekali perlumbaan F1 terpaksa ditamatkan awal, iaitu pada 2009 berikutan hujan lebat dan litar yang tidak selamat untuk perlumbaan.

Tetapi sejak itu, tidak ada perlumbaan F1 yang tidak mencecah 56 pusingan meskipun dalam cuaca hujan. Begitu juga dengan perlumbaan MotoGP, kecuali insiden yang meragut nyawa Marco Simoncelli pada 2011,tidak ada insiden-insiden besar lain yang mencalit dakwat merah kepada rekod penganjuran perlumbaan oleh SIC .

Ini membuktikan penyelenggaraan berterusan dan amalan kerja yang positif berjaya mengekalkan reputasi Sic sebagai antara litar perlumbaan paling sempurna. Malah ketika perlumbaan MotoGP di Silverstone dibatalkan atas alasan “unsafe track condition” Ogos lalu, ramai peminat dan pemerhati sukan permotoran menyeru agar Silverstone belajar dari SIC bagaimana untuk mengurus litar.

Satu kemenangan moral buat Malaysia secara umumnya. Terkini, SIC kini telah pun bersedia untuk perlumbaan malam. Lampu limpah di keliling litar telah pun mendapat lampu hijau dari FIA dan badan-badan lain yang menaungi perlumbaan permotoran.

Perlumbaan MotoGP kini semakin dekat dihati rakyat Malaysia. Jika dahulu kita hanya menjadi tuan rumah kepada perlumbaan, tetapi kini Malaysia telah mempunyai wakil tetap dalam perlumbaan sebenar. Hafizh Syahrin Abdullah menjadi pelumba asia tenggara pertama yang beraksi sepenuh masa dalam perlumbaan MotoGP apabila meraih tempat dalam pasukan Monster Yamaha Tech 3 pada musim 2018.

Nama Hafizh Syahrin sebenarnya sudah sebati dengan peminat perlumbaan motosikal di Malaysia, bermula dengan perlumbaan pocket bikepada usia 9 tahun, Hafizh atau kini lebih mesra dengan gelaran El Pescao, memadam rekod Norizman Ismail dalam perlumbaan Cub Prix apabila muncul juara termuda pada musim 2010 ketika berusia 16 tahun.

Dari situ nama Hafizh mula meniti di bibir penggiat sukan permotoran, dan mereka menanti dengan sabra untuk melihat kelibat anak muda berjiwa besar ini beraksi di pentas utama MotoGP.

Musim 2014, Hafizh memulakan langkah ke perlumbaan lebih besar secara rasmi  apabila menunggang untuk Petronas Raceline Malaysia pada perlumbaan Moto2 sepenuh masa buatnya.

Dia meraih 42 mata pada musim pertamanya itu, dan bersama dengan pasukan tersebut selama 4 tahun di Moto2. 2018, satu lagi langkah besar buat Hafizh Syahrin. Penarikan diri Jonas Folger dari perlumbaan atas faktor kesihatan membuka peluang kepada Hafizh Syahrin.

Hasil perbincangan pada pra musim, Hafizh akhirnya diberi kepercayaan untuk mengibar cabaran bersama Monster Yamaha Tech 3. Perjuangan sebenar buat EL Pescao kini bermula.

Pada musim rookienya dalam MotoGP tidak banyak yang boleh kita harapkan, tetapi memadai untuk melihat Hafizh berentap dengan nama-nama besar lain mengejar kejuaraan. Apa yang ingin difokuskan disini, bukan lah individu bernama Hafizh Syahrin itu sahaja, tetapi jenama Malaysia yang dibawa oleh beliau. Ketika selama ini anak-anak muda mengagumi kehebatan Valentino Rossi, Marc Marquez dan Dani Pedrosa, kini telah ramai yang mula bangga memakai t-shirt el pescao 55  , mengenakan topi Hafizh Syahrin55, mengibar bendera tertera HS55, malah kini peminat yang berkunjung ke mana-mana litar pada perlumbaan MotoGP sudah punya sebab untuk mengibar Jalur Gemilang, semuanya kerana Hafizh Syahrin!

Tinjauan di mall areaSIC juga menyaksikan banyak merchandiseHS55 dijual malah mendapat sambutan memberangsangkan bukan sahaja dari peminat tempatan, malah pengunjung luar yang mula merasai kehadiran Hafizh Syahrin di perlumbaan MotoGP.

Bukan menafikan sumbangan rakan-rakannya yang lain seperti Adam Norrodin di Moto3 dan Khairul Idham Pawi di Moto2, tetapi impak yang diberikan El Pescaodalam MotoGP lebih bersifat dominan.

Apapun, hujung minggu ini di Sepang, kita mahu melihat kesemua pelumba Malaysia berjuang sepenuh jiwa, begitu juga dengan penyokong yang pastinya sentiasa berada di kala pelumba memerlukan mereka. Kita juga mahu melihat satu lagi penganjuran yang mantap oleh SIC dan kita juga mahu dunia mengagumi Malaysia….kerana apa? Kerana kita rakyat Malaysia dan kita berhak berbangga!