Home / Bola Sepak / Siapa Taruhan Kim Swee?

Siapa Taruhan Kim Swee?

OKSArtikel Oleh : Al-Zaem

Persiapan skuad Harimau Muda A (HM A) bakal memasuki fasa akhir sebelum dijangka berangkat ke Incheon, Korea Selatan pada pertengahan September depan. Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee pastinya sedang berkira-kira senarai pemain yang bakal dibawanya nanti. Mengikut perancangan, pengendali berusia 43 tahun itu akan menggabungkan 12 pemain yang kini sedang beraksi dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Australia dengan 13 pemain yang beraksi dalam Liga Super dan Liga Perdana untuk Sukan Asia nanti.

Telahan awal pilihan pemain yang beraksi di Australia berdasarkan statistik di laman web NPL, pastinya Kim Swee bakal mempertaruhkan beberapa pemain tetapnya seperti Mohamad Fandi Othman, Shahrul Mohd Saad, Saiful Ridzuan Selamat serta Nazirul Naim Che Hashim. Pemain licik kelahiran Selangor, D. Saarvindran yang menjadi antara penjaring utama skuad HM A di Australia pastinya akan dikekalkan. Selain itu, Mohammad Ridzuan Abdunloh Pula yang juga antara penyumbang gol terbanyak skuad HM A di sana mungkin bakal mendapat tempat.

Melihatkan statistik di laman web NPL tersebut, Kim Swee dilihat kerap kali mencuba pemain tengah yang baru diketengahkan iaitu Adam Nor Azlin yang mencuri perhatian Kim Swee sejak di bawa beraksi dalam Piala Newspaper 2012 yang berlangsung di Vietnam. Pastinya Adam termasuk dalam perancangan untuk Sukan Asia nanti kerana, menurut Kim Swee aksi di NPL Queensland adalah satu platform bagi para pemainnya untuk meraih pengalaman serta membuktikan kemampuan masing-masing sebelum berpeluang beraksi di peringkat yang lebih tinggi. “Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya percaya NPL Queensland merupakan medan yang sesuai buat pemain meraih pengalaman sebagai persediaan sebelum temasya Sukan Asia. Bukan apa, temasya Sukan Asia lebih menjadi keutamaan saya dan HM A,” ulas Kim Swee kepada wartawan akhbar Kosmo.

Sementara itu, dua pemain utama yang kerap kali terpinggir menyertai kejohanan utama akibat kecederaan panjang iaitu Mohd Amer Saidin dan Gary Steven Robbat, masing-masing akan berdepan nasib yang berbeza. Amer yang telah pulih sepenuhnya mungkin akan kembali merebut tempatnya dalam skuad utama namun Gary berkemungkinan besar bakal tersisih sekali lagi. Pemain-pemain liga yang bakal diserap ke dalam skuad Sukan Asia sebenarnya tidak asing lagi bagi Kim Swee. Kim Swee membayangkan bakal memanggil Wan Zack Haikal Wan Noor, Mohd Fadhli Shas, Wan Zaharulnizam Zakaria, Thamil Arasu, Irfan Fazail, Rozaimi Abd Rahman dan Nazmi Faiz Mansor namun berdepan satu kekangan.  “Walaupun pemain ini pernah bersama saya tapi apa yang merisaukan mereka jarang beraksi, malah ada di antaranya langsung tidak diturunkan dalam perlawanan liga sebelum ini. Saya harap mereka ini masih mempunyai tahap kecergasan yang baik,” kata Kim Swee kepada wartawan akhbar Kosmo.

Berita terbaru adalah kecederaan ACL yang dialami kapten HM A, Irfan Fazail yang kini beraksi bersama Johor Darul Takzim (JDT I) dan akan berehat selama enam bulan. Tempatnya selaku kapten mungkin bakal digalas pertahanan kiri, Fandi Othman ataupun salah seorang pemain senior yang bakal dibawa masuk antaranya Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak. Aidil adalah antara calon pemain senior yang disebut Kim Swee bakal menyertai skuad Sukan Asia selain S. Subramaniam (JDT I), Brendan Gan (Kelantan), Bobby Gonzales (PDRM) dan Mohd Norfarhan Muhammad dari Terengganu.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mensasarkan skuad HM A dapat melayakkan diri di peringkat suku akhir apabila diletakkan dalam sukan kategori B Sukan Asia sementara bagi Kim Swee, dirinya belum mahu meletakkan sebarang sasaran untuk skuad kendaliannya itu. “Saya tidak boleh membuat sebarang komen mengenai sasaran pasukan ini di Sukan Asia kerana pihak pengurusan juga belum membuat sebarang keputusan lagi. Undian peringkat kumpulan belum lagi dikeluarkan, apa yang saya harapkan agar kita juga mendapat tuah daripada undian itu,” komennya yang dipetik dari akhbar Metro.

Sebelum penganjur Sukan Asia menetapkan hanya skuad B-23 tahun beraksi di temasya berkenaan bermula tahun 2002, skuad bolasepak negara pernah meraih pingat gangsa di Sukan Asia 1962 dan 1974. Walaubagaimanapun, dua kali penyertaan skuad B-23 pada Sukan Asia 2002 dan 2006 melihatkan pasukan negara tersekat di peringkat kumpulan sebelum diperbaiki oleh Datuk K. Rajagobal di Guangzhou dengan layak ke pusingan kedua selepas muncul antara empat pasukan terbaik di tempat ketiga kumpulan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*