Home / Golf / Seri Selangor pilih Amir dan Irfan sebagai Duta.

Seri Selangor pilih Amir dan Irfan sebagai Duta.

 

Dari kiri Mohamad Irfan Yusoff, Hairul Zaini dan Amir Nazrin Jailani bergambar selepas dipilih sebagai Duta Kelab Golf Seri Selangor. ©SukanMalaysia.MY

KOTA DAMANSARA, 30 Julai 2017 : Kelab Golf Seri Selangor hari ini memilih dua pemain golf professional negara, Amir Nazrin Jailani dan Mohamad Irfan Yusoff sebagai Duta Kelab Golf Seri Selangor bertujuan untuk mempromosi dan membawa imej Kelab Golf Seri Selangor ke persada antarabangsa,

Pemilihan dua pemain muda ini dilihat sebagai kesinambungan Kelab Golf Seri Selangor yang sebelum ini pernah memilih  bekas pemain no satu negara, Shabaan Hussin sebagai duta mereka.
Sejajar dengan misi Kelab Golf Seri Selangor sebagai pusat kecemerlangan dan pembangunan sukan golf di Malaysia, Pengurus Besar Kelab Golf Seri Selangor, Hairul Zaini menganggap pemilihan Amir dan Irfan adalah satu pilihan yang tepat dan yakin kedua-dua pemain ini mampu menjadi ikon buat Kelab Golf Seri Selangor.
“Memandangkan ini merupakan satu kesinambungan kepada apa yang pernah kami lakukan sebelum ini, kami melakukan penilaian yang teliti untuk memilih pemain yang mampu membawa imej yang baik kepada Kelab Golf Seri Selangor. Saya yakin dua pemain muda ini mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan golf dan melihat dari perancangan yang dilakukan, Kelab Seri Selangor amat gembira memilih mereka sebagai Duta kelab kami’ ujar Hairul.

Irfan Yusoff dan Amir Nazri

‘Kedua-dua mereka mempunyai potensi yang besar dan saya berharap dengan pemilihan ini Amir dan Irfan akan terus berjaya dalam kerjaya golf mereka’- tambah Hairul

Amir, 19 tahun merupakan bekas pemain amatur no 1 negara sebelum beralih sebagai pemain professional awal tahun lalu dan merupakan pemain yang lahir dari program remaja Kelab Golf Seri Selangor manakala Irfan 23 tahun merupakan pemain muda yang berpangkalan di Kota Damansara dan pernah menjuarai sirkit Jelajah Professional Malaysia pada tahun lalu.

‘Saya bangga terpilih sebagai Duta Kelab Golf Seri Selangor. Saya membesar di Kelab ini dan perlantikan sebagai Duta merupakan satu penghargaan buat saya’ ujar Amir ketika ditemui.

‘Perlantikan ini memberi suntikan semangat buat saya untuk terus cemerlang dalam sukan Golf. Saya akan memastikan nama baik dan imej Kelab Golf Seri Selangor terjaga dan perlantikan ini merupakan satu penghargaan buat saya’ – ujar Irfan.
Kelab Golf Seri Selangor merupakan kelab golf awam pertama di Malaysia dan dimiliki sepenuhnya oleh Perbandanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).