Home / Bola Sepak / Separuh akhir I Piala Malaysia 2019 : JDT atas Selangor, Pahang ikat Kedah

Separuh akhir I Piala Malaysia 2019 : JDT atas Selangor, Pahang ikat Kedah

Kehangatan Piala Malaysia semakin terasa apabila aksi separuh akhir pertama berlangsung semalam.

Johor Darul Ta’zim (JDT) sedikit ceria selepas berjaya mengatasi Selangor di laman sendiri. Sementera perlawanan Kedah-Pahang di Alor Star berkesudahan seri 3-3.

Beraksi di laman sendiri semestinya mahu dimanfaatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menerima kunjungan juara 33 kali Piala Malaysia Selangor.

Minit ke-14 JDT sudah di hadapan gol menerusi Mohd Syafiq Ahmad yang berjaya menyudahkan peluang terhidang.

Bagaimanapun dua minit berselang Selangor kembali mengikat kedudukan 1-1 hasil penyudah Ifedayo Omasuyi mengheret kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Foto : Zaid Ayid | SukanMalaysiaDotMY

JDT kembali mengasak sebaik separuh masa kedua bersambung dan hasilnya tuan rumah kembali di hadapan pada minit ke-48 berpunca dari sepakan percuma Diego Santos sebelum keadaan kucar kacir di hadapan gawang Selangor membuka ruang buat Leandro Velazques merembat kencang gol kedua JDT.

Foto : Zaid Ayid | SukanMalaysiaDotMY

Terus rancak selepas itu Selangor berpeluang menyamakan kedudukan namun percubaan pemainnya terkena tiang sebelum percubaan susulan menerusi Khyril Muhaymin turut singgah di tempat yang sama.

Foto : Zaid Ayid | SukanMalaysiaDotMY

Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat permainan dan JDT tetap ceria meraih kemenangan menjelang pertemuan kedua di Shah Alam minggu depan.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir di Alor Star, tuan rumah Kedah cemas sebelum berjaya mengikat keputusan 3-3 ketika melayan kunjungan Pahang.

Skuad Tok Gajah nyata berada dalam prestasi terbaik apabila menguasai babak pertama menerusi dua gol awal bermula dengan rembatan jarak jauh Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-13.

Minit ke-26 Pahang terus ceria menggandakan jaringan apabila Dickson Nwakaeme menyempurnakan sepakan penalti.

Penyokong tuan rumah akhirnya lega apabila Fernando Rodriguez merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-32.

Minit ke-37 Kedah dihadiahkan sepakan penalti namun tendangan Jonathan Baumann berjaya diselamatkan penjaga gol Helmi Eliza Ilyas.

Tiga minit berselang Kedah sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti dan kali ini peluang tidak dipersiakan Rodriguez untuk mengikat kedudukan 2-2.

Aksi rancak terus dipamerkan selepas rehat dengan Pahang kembali di depan selepas Nor Azam Azih membuat percubaan dari luar kotak penalti untuk keputusan semasa 3-2.

Ketika permainan memasuki masa kecederaan, Zaquan Adha Abd Razak muncul penyelamat menjaringkan gol ketiga Kedah untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan keputusan seri 3-3.

Menjelang aksi timbal balik di Kuantan sabtu minggu depan pastinya tugas sukar menanti Kedah yang perlu beraksi di hadapan penyokong lawan.