Home / Lain - Lain / Sembilan Persatuan tanggung hutang MOM RM300,000

Sembilan Persatuan tanggung hutang MOM RM300,000

KUALA LUMPUR: Sembilan persatuan sukan kebangsaan belum melunaskan bayaran perbelanjaan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membabitkan atlet masing-masing yang beraksi dalam kategori B pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos lepas.

Tanpa mendedahkan nama persatuan sukan terbabit, Ketua kontinjen negara ke temasya berkenaan, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata ia membabitkan jumlah hutang keseluruhan melebihi RM300,000.

Sehubungan itu, beliau meminta persatuan sukan terbabit segera melakukan bayaran kepada MOM atau berdepan tindakan undang-undang.

Perbelanjaan atlet kategori B akan dibayar semula MOM sekiranya atlet persatuan sukan berkenaan berjaya meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Abdul Azim menjelaskan terdapat persatuan sukan meminta MOM mendahulukan pembayaran bagi penyertaan atlet dalam kategori B dan berjanji akan melakukan bayaran selepas berakhir Sukan Asia 2018, namun sehingga kini masih belum mengotakan janji mereka.

“Saya nak cadangkan satu pendekatan baharu, seminggu sebelum atlet menyertai sebarang temasya sukan, persatuan sukan berkenaan perlu membuat bayaran penuh kepada MOM bagi mengelak kelewatan pembayaran seperti yang berlaku sekarang,” katanya.