Home / Badminton / SELEPAS 7 PEMAIN DIGUGURKAN, BAM BERI BAYANGAN BARISAN KEJURULATIHAN BAKAL MENYUSUL DIROMBAK

SELEPAS 7 PEMAIN DIGUGURKAN, BAM BERI BAYANGAN BARISAN KEJURULATIHAN BAKAL MENYUSUL DIROMBAK

Selepas 7 pemain digugurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jumaat lalu, kini barisan kejurulatihan bakal berdepan nasib yang sama dengan dua nama dari kem wanita menjadi tumpuan untuk digugurkan.

Presiden BAM Datuk Seri Norza Zakaria memaklumkan ia membabitkan Datuk Teh Seu Bock dan Rosman Razak ketika pasukan wanita tidak menunjukkan peningkatan memberansangkan sepanjang tahun lalu.

Mengimbas ranking akhir 2019 menyaksikan tiada wakil Malaysia berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Kedudukan terbaik kem wanita negara adalah dari skuad beregu yang dibarisi Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean di ranking 15 dunia, sementara Soniia Cheah dalam acara perseorangan di tangga ke-31 dunia.

BAM dijangka bakal melakukan rombakan dalam struktur kejurulatihan skuad kebangsaan namun ketika ini masih tiada jawapan yang kukuh dengan penilaian semula akan dibuat selepas tamatnya Master Malaysia 2020 yang bermula esok.

Rombakan dalam struktur kejurulatihan yang akan dilakukan BAM nanti bukan saja terarah kepada skuad kebangsaan malah turut melibatkan pembangunan pasukan remaja.

Sudah pasti ia tertumpu kepada Datuk Misbun Hj Sidek yang menjadi calon utama memikul tugas sebagai Pengarah Teknikal Skuad Remaja Negara.

Formula kejurulatihannya turut menjuruskan impak yang besar apabila turut membantu Datuk Lee Chong Wei bergelar pemain nombor satu dunia termasuk memenangi pingat perak Sukan Olimpik 2008 di Beijing.

Kepakaran yang dimiliki jurulatih berusia 58 tahun itu dikatakan menjadikan dirinya pilihan utama BAM untuk memikul tugas berkenaan ketika program latihan skuad remaja negara ketika ini dilihat gagal melahirkan pemain muda berwibawa.

Misbun pernah memikul tugas selaku jurulatih remaja ketika era 1990an dan beliau sememangnya pakar dalam mengenalpasti bakat baharu dan berjaya membentuk Mohd Hafiz Hashim sehingga bergelar juara Seluruh England pada 2003 ketika ketika pemain itu berusia 21 tahun.