Penyerang Muhammad Safawi Rasid ternyata muncul wira apabila berjaya menjaringkan dua gol pasukan negara di minit ke 5 dan 45 sebelum pasukan Korea yang merupakan juara bertahan acara bolasepak Sukan Asia mendapat gol di minit ke 88 melalui pemain bintang Piala Dunia mereka, Son Heung Min.

Jurulatih Datuk Ong Kim Swee

Kemenangan pasukan skuad bawah 23tahun ini menjamin tempat Malaysia ke pusingan kedua walaupun masih berbaki 1 perlawanan. Kali terakhir pasukan bolasepak Malaysia melangkah ke pusingan kedua ialah pada tahun 1978 di Bangkok, Thailand.

Jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata, semangat juang dan disiplin yang tinggi merupakan faktor utama kejayaan pasukan Malaysia membenam pasukan Korea seterusnya melepasi ujian getir untuk mara ke pusingan kedua selepas meraih enam mata maksimum setakat ini.

“Ia satu kepujian yang harus diberikan kepada semua pemain. Mereka bermain bermati-matian walaupun kita tidak bermain seperti apa yang kita inginkan,” kata Kim Swee.

“Tetapi keputusan serta kesungguhan para pemain tak boleh dinafikan. Ini menunjukkan kita mempunyai mentaliti yang cukup baik.

“Paling mustahak, pasukan dapat meraih keputusan cukup positif di mana kemenangan ini melayakkan kita ke pusingan seterusnya lebih awal.”

Pasukan Malaysia akan bertemu pasukan Bahrain pada hari Isnin ini dan kemenangan akan meletakkan pasukan Malaysia selaku juara kumpulan apabila Bahrain sekadar seri dengan Kyrgyzstan dalam perlawanan malam tadi.