Home / Bola Sepak / Selangor robohkan kota Melaka.

Selangor robohkan kota Melaka.

MELAKA 9 Ogos 2019 : Selangor mempamerkan reputasi selaku juara 33 kali Piala Malaysia apabila mengatasi Melaka United (MU) 1-0 pada aksi Kumpulan D Piala Malaysia 2019 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Kemenangan terbabit membuka ruang buat pasukan itu mara ke suku akhir sekali gus berada di landasan untuk menjulang piala berprestij terbabit buat kali ke-34.

The Red Giants lebih awal melakukan percubaan menerusi Sandro da Silva namun gagal menembusi gawang tuan rumah dan pasukan itu juga menguasai barisan tengah menerusi gandingan Syahmi Safari dan Faiz Nasir bagi menekan kubu tuan rumah namun buntu di babak pertama.

Aksi pemain Selangor ketika bertemu Melaka United. ©Zaid Ayid/ SukanMalaysiaDotMY

Bersambung babak kedua, skuad Merah Kuning terus mengasak menerusi  beberapa percubaan bahaya dengan gol dicari terhasil pada minit ke-61 menerusi jaringan sendiri Jang Suk Won selepas tertampan rembatan Endrick Dos Santos.

Enggan kecewa, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan turut melakukan percubaan menerusi pemain gantian, Deevan Raj pada minit ke-65, 74 dan 79 namun gagal memecah kebuntuan.

Penghujung babak memperlihatkan tuan rumah seakan memperoleh rentak sebenar namun rembatan kencang Luka Milunovic pada minit ke-79  ditepis penjaga gol, Khairul Azhan Mohd Khalid.

Mata maksimum diperoleh Selangor membolehkan mereka unggul di carta kumpulan selepas menerusklan aksi tanpa kalah setakat ini.

sumber : BH Online