Home / Bola Sepak / SELANGOR IKAT NEITZEL

SELANGOR IKAT NEITZEL

Selangor jelas begitu serius untuk kembali menuntut status mereka sebagai antara kuasa besar bola sepak tempatan apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengesahkan mereka mengikat bekas pemain Jerman, Karsten Neitzel untuk musim depan.

Perkembangan itu disahkan Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang menjelaskan Neitzel bakal mengemudi pasukan utama Selangor sekali gus meneruskan agenda yang sudah disusun Pengarah Teknikal, Micheal Feichtenbeiner yang ketika ini menjadi pemangku jurulatih skuad utama.

Jelasnya, bekas pembantu jurulatih Urawa Reds itu berjaya ‘menewaskan’ beberapa calon lain yang disenaraikan sebelum ini sekali gus disifatkan sebagai calon yang paling ideal dalam misi mengembalikan kegemilangan bola sepak The Red Giants.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan Neitzel, Shahril mengakui bekas pemain Dynamo Dresden itu memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi jurulatih skuad utama Selangor.

“Kita mahukan pembaharuan dan setiap pembaharuan yang dilakukan, pasti ada risikonya. Tetapi selepas penilaian dibuat, kita melihat Neitzel sangat sesuai dan boleh bekerja dengan baik bersama Feichtenbeiner sebagai Pengarah Teknikal.

“Antara perancangan kita adalah untuk mewujudkan DNA Bola Sepak Selangor di mana semua pasukan akan menggunakan corak dan taktikal permainan yang sama.

“Feichtenbeiner sudah meletakkan batu asas yang baik pada musim ini dan memberikan kita momentum yang baik. Kami berpendapat Neitzel mampu meneruskan perancangan ini,” katanya.