Home / Bola Sepak / Sathia: Tidak Wajar Kita Kritik Skuad Kebangsaan

Sathia: Tidak Wajar Kita Kritik Skuad Kebangsaan

SathiaArtikel Oleh : Al-Zaem
Gambar Arkib : Azhari Yusop

“Tidak wajar untuk kita mengkritik skuad kendalian Dollah Salleh kerana dia baru sahaja mengambil alih tugas tersebut dan perlu diingatkan menjadi jurulatih pasukan kebangsaan bukan satu perkara yang mudah,” ujar jurulatih Angkatan Tentera Malaysia, B. Sathianathan kepada Utusan Malaysia.

Sathia pastinya sudah masak dengan tugasan di peringkat kebangsaan kerana sebelum ini pernah membimbing skuad kebangsaan dari tahun 2007 sehingga 2009. Walaupun tidak memberikan kejayaan yang membanggakan di peringkat tersebut, namun Sathia adalah antara jurulatih yang berjaya dalam aksi Liga Malaysia. “Jadikan perlawanan tersebut sebagai ‘wake up call’ untuk pasukan kebangsaan kerana melalui keputusan yang diperoleh masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi oleh skuad negara,” tambahnya lagi yang turut mahukan keputusan perlawanan itu dijadikan rujukan bagi perlawanan seterusnya.

Sementara itu, Dollah dikhabarkan bakal melakukan perubahan drastik terhadap skuad kendaliannya selepas tewas kepada Tajikistan. Selain kecewa dengan aksi keras lawan, Dollah juga nyata tidak gembira dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya sepanjang aksi persahabatan tersebut.“Tak menjadilah nampaknya. Walaupun tak menjadi tapi kita dapat dua tiga peluang khasnya Safee yang mendapat peluang terhidang dalam separuh masa pertama,” katanya ketika dihubungi Astro Awani semalam.

Bagi Dollah, sesiapa sahaja layak berada dalam skuad negara andai mereka mampu buktikan mereka layak menyarung jersi kebangsaan dan umur adalah perkara kedua. Selain pemain baru yang sedang meningkat naik, beberapa pemain senior turut berada dalam kotak fikirannya termasuk Indra Putra Mahyuddin, Hairuddin Omar dan Shukor Adan.

Namun segalanya bergantung kepada prestasi semasa pemain-pemain terutama pada saingan Piala Malaysia yang bakal memulakan aksi pada Rabu ini. “Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya akan menggunakan Piala Malaysia sebagai medan untuk membuat pemilihan jadi, saya akan jelajah ke seluruh negeri untuk memerhatikan pemain yang terbaik untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan,” ujar Dollah lagi.

Skuad negara ketika ini dalam persediaan menghadapi kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 pada penghujung November ini. Malaysia bakal berdepan pasukan di ranking ke-51 dunia, Jordan pada 11 Oktober sebelum menentang pasukan ranking ke-101 dunia, New Zealand pada 18 November.

Namun sebelum itu, menurut laporan akhbar Kosmo, skuad negara dijangka menjalani aksi persahabatan menentang Indonesia ataupun Vietnam pada 6 Oktober ekoran lawan asal, Singapura yang turut diundi bersama Malaysia, Thailand dan juara aksi kelayakan dalam kejohanan Piala AFF nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*