Home / Lain - Lain / SAM WUJUD DANA KHAS BANTU PENGAMAL MEDIA TEMPATAN

SAM WUJUD DANA KHAS BANTU PENGAMAL MEDIA TEMPATAN

ALOR SETAR: Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan bantuan khas berupa dana kepada pengamal media di negara ini yang turut terkesan dari segi ekonomi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan pada 18 Mac lalu.

Tujuan peruntukan dana yang dicadangkan ini diharap dapat memberi suntikan baharu dan sekali gus menyelamatkan industri media yang dilihat semakin tenat selepas berdepan impak dibawa oleh pandemik COVID-19.

Presiden SAM, Jasni Shafie berkata pada masa ini ada sebahagian dari pengamal media yang bekerja bukan sebagai kakitangan tetap (freelancer) atau stringer dengan mereka terkesan kerana bayaran upah dibayar berdasarkan kerja harian atau tugasan namun tidak dapat laksanakan sepanjang PKP.

Katanya, pengamal media tempatan ini juga adalah sebahagian daripada barisan hadapan dengan tugas menyampaikan berita yang tepat dan sahih bagi memastikan rakyat Malaysia mematuhi arahan kerajaan dalam usaha membendung wabak COVID-19 dari terus menular di negara ini.

“Kalau ada peluang memberikan cadangan, saya ingin meminta kerajaan satu peruntukan ataupun dana khas kepada industri media tempatan termasuk media sukan kerana memang sebahagian besar daripada industri media turut terjejas dengan masalah COVID-19 ini.

“Saya ingin mengambil contoh sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Romania dimana mereka memperuntukkan hampir 40 juta euro (RM160 juta) bagi membantu industri media di negara mereka selepas kesan yang agak teruk akibat pandemik ini.”

“Melalui peruntukan itu mereka membantu semua media termasuk elektronik, media dalam talian dan media cetak termasuk media papan iklan atau billboard,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Jasni berkata, daripada peruntukan dijangkakan tidak begitu besar itu, ianya boleh dijanakan kepada industri media yang pelbagai di negara kita ini melalui pembelian slot iklan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan gaya hidup baharu (normal baharu) yang sihat mungkin selepas tempoh PKP ini nanti.

“Langkah ini juga dapat memastikan masyarakat mendapat berita sahih dan tepat bagi mengelak berita palsu yang kian berleluasa disebarkan melalui media sosial pada masa kini.

“Saya rasa inilah peranan utama pihak media di negara kita sepanjang pandemik COVID-19 ini. Kita dapat lihat bagaimana mereka turut membantu kerajaan dalam memberikan laporan tepat, berwibawa dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak kerana mereka mengambil sumber benar dan sahih untuk dihebahkan kepada seluruh rakyat Malaysia.”

“Jadi saya memohon kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberikan sedikit perhatian kepada industri media ini bukan sahaja dalam media sukan tetapi keseluruhan industri media di negara kita kerana mereka juga adalah antara frontliners yang turut membantu kerajaan dalam membendung wabak penularan COVID-19.” katanya.