Home / Bola Sepak / SAM merayu agar peraturan dikaji semula.

SAM merayu agar peraturan dikaji semula.

KUALA LUMPUR, 27 Februari 2021 : Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) menyeru agar beberapa peraturan kepada media untuk membuat liputan pertandingan bola sepak Liga Super dan Liga Premier dikaji semula kerana ia dianggap kurang tepat dan agak membebankan.

Presiden SAM, Datuk Jasni Shafie berkata peraturan mewajibkan media terutama jurugambar atau jurukamera untuk membuat ujian RTK Antigen pada setiap perlawanan akan menambahkan lagi kos operasi pihak petugas media dalam masa pandemik ini.

“Setiap kali ujian RTK Antigen anggaran kos RM 100 – 150 perlu dibelanjakan oleh seorang petugas media, bayangkan kos perbelanjaan yang harus ditanggung oleh pihak media pada setiap perlawanan dan jika sepanjang musim. Bukan sekadar kos dari segi wang ringgit malah kekangan masa untuk melaksanakan proses ini juga haruskan dititik beratkan” ujar Jasni.

SAM sedar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku pengendali liga bola sepak tempatan sekadar melaksanakan peraturan berdasarkan garis panduan oleh  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), tetapi pihak berwajib itu harus juga mengambil kira impak kewangan petugas media.

Larangan wartawan untuk menemubual jurulatih atau pemain ketika latihan juga kelihatan suatu tindakan yang ‘mengarut’ kerana ia sebenarnya boleh diadakan dengan SOP yang sedia ada.

“Kalau Menteri boleh ditemubual dengan pematuhan SOP tertentu, kenapa ahli sukan tidak dibenarkan?” ujar Jasni yang ternyata kecewa dengan peraturan baru yang dikeluarkan.

Sehubungan itu, SAM akan meminta bantuan daripada Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican untuk memanjangkan masalah ini kepada KKM dan MKN agar satu solusi lebih munasabah dapat dicari.

“Media sentiasa bersama untuk mengaktifkan semula aktiviti sukan melalui Gelembung Sukan yang dilaksanakan, tetapi kebebasan dan kemudahan kepada media juga harus dititikberatkan” katanya.

Saingan Liga Malaysia dijadual bermula 5 Mac ini dengan aksi pembuka tirai membabitkan pertemuan antara juara dan naib juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim.