Home / Hoki / Roelant Oltmans umumkan 20 pemain ke Belanda

Roelant Oltmans umumkan 20 pemain ke Belanda

Jurulatih skuad Malaysia, Roelant Oltmans. Gambar oleh Jeffrizal Abu / SM International

Jurulatih skuad hoki negara Roelant Oltmans mengumumkan senarai 20 pemain yang akan dibawa ke Belanda sebagai destinasi persiapan terakhir sebelum menentang Great Britain bagi aksi kelayakan Sukan Olimpik 2020 November ini.

Hanya penjaga gol Andrian terpaksa digugurkan Oltmans dengan senarai akhir 18 pemain akan diketahui selepas dua aksi persahabatan di Belanda.

S.Kumar dan Zaimi Mat Deris mengisi posisi penjaga gol selain lima pemain pengalaman dipilih menjadi sebagai tonggak pertahanan termasuk kapten pasukan Sukri Mutalib.

Roelant Oltmans turut menyenaraikan Nabil Fikri Mohd Noor dan Marhan Jalil yang boleh bermain dalam dua posisi pertahan dan tengah disamping empat pemain tengah yang diketuai oleh Fitri Saari.

Bahagian serangan enam pemain disenaraikan Oltmans selain dua pemain simpanan menyaksikan 20 pemain terbaik yang Malaysia miliki ketika ini.

Yang jelas Oltmans lebih rela Malaysia turun selaku pasukan underdog berbanding Great Britain yang pastinya diletakkan sebagai pasukan pilihan.

“Selain Malaysia, saya rasakan kebanyakkan peminat hoki menjangkakan Great Britain akan layak, tapi fikiran kami berbeza, cuma situasi ini sama dengan pasukan-pasukan lain berdasarkan kedudukan dalam dunia dan kejayaan mereka dalam Piala Dunia dan Liga Pro, memang mereka adalah pasukan pilihan dan biarkan mereka menjadi pasukan pilihan”, ujar Oltmans.

Dalam pada itu kejayaan Malaysia melayakkan diri ke kelayakan hoki Piala Dunia secara merit di gelanggang yang sama dua tahun lalu sedikit sebanyak menggamit memori Sukri dan rakan-rakan pemain.

Ia sekaligus mesej jelas tiket ke Olimpik 2020 bukan misi mustahil. Skuad negara akan berlepas ke Belanda ahad ini bagi menempuh dua aksi persahabatan sebelum terus ke London 28 Oktober nanti.