Home / Bola Sepak / Rangkuman Perlawanan Kedua Saingan Peringkat Kumpulan Piala Malaysia 2013

Rangkuman Perlawanan Kedua Saingan Peringkat Kumpulan Piala Malaysia 2013

Lapuran Oleh : Md Duang
ATM memperolehi jaringan pertama melalui Hairudin Omar | Md Azreen
Pasukan Selangor gagal mengutip tiga mata penuh dalam pemburuan misi 33 mereka apabila kecundang 2-3 di tangan ATM pada aksi di Stadium Shah Alam. The Gladiators yang tewas kepada Sime Darby tempohari, mendahului tuan rumah pada minit ke 14 sebelum Amri Yahyah menyamakan kedudukan pada minit ke 29. ATM kembali mendahului hasil jaringan Fitri Omar pada min ke-41 dan Christie Jayaseelan (46’). Biarpun S.Kunalan berjaya merapatkan defisit jaringan pada minit terakhir perlawanan namun ianya sudah terlambat untuk menghalang The Red Giants rebah di laman sendiri.
Sime Darby tewas di gelanggang sendiri | Radi Mohamad
Pasukan Sime Darby ditimpa malang apabila dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada pasukan Johor pada aksi di Stadium MP Selayang. Segar dengan kemenangan 4-3 ketika menjinakkan ATM, Sime Darby terlebih dahulu di hadapan hasil sentuhan penyerang berbisa, Karlo Primorac pada minit ke 13. Namun pasukan Johor tidak mudah mengalah apabila bangkit untuk menewaskan Sime Darby hasil jaringan Mohd Khairul Ismail dan Mohamad Izuan Jarudin. 


Jaringan tunggal perlawanan oleh penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali pada min ke-72 sudah cukup memberikan tiga mata berharga kepada JDT. JDT menewaskan Felda United 1-0 sekaligus meletakkan Felda United menghuni tangga tercorot kumpulan. 


Pasukan PKNS FC yang bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah berjaya membawa pulang tiga mata penuh setelah menang tipis 1-0 hasil jaringan pemain import, Roman Chamelo pada minit ke-34. Pasukan T-Team terpaksa akur dengan kekalahan ini setelah gagal bangkit mencipta jaringan. Tambah memeritkan apabila pemain importnya, George Boateng dilayang kad merah setelah mengutip dua kad kuning. 


Isu pemain yang gagal ujian pertama doping pada saingan akhir Piala FA 29 Jun lalu, tidak menjejaskan momentum Kelantan apabila menewaskan Terengganu 2-0 di gelanggang sendiri. The Red Warriors tidak menunggu lama untuk memimpin perlawanan melalui penyudahan Dickson Nwakaeme pada minit ke 9. Kelantan berpeluang menjarakkan kedudukan namun Obina gagal menyempurnakan sepakan penalti. Pada minit ke 73, pemain gantian Zairo Anuar melenyapkan sisa harapan bekas pasukannya apabila menjaringkan gol cantik melalui sepakan percuma. 


Pesta gol disajikan dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. Tuan rumah, Negeri Sembilan kecundang 3-5 kepada pasukan Pahang. Gol-gol Tok Gajah dijaringkan oleh Azamuddin Mohd Akil pada minit ke 23, R.Gopinathan (51’ dan 66’). Matias Ruben Conti turut mencetak nama pada minit ke 62 manakala Amirulhadi Zainal melengkap pesta jaringan pada minit ke 82. Manakala jaringan hatrik S.Sivanesan pada minit ke 48,73 dan 76 tidak cukup untuk membantu Negeri Sembilan mencatat kemenangan kedua. 


Juara Liga Perdana, Sarawak mengejutkan Lions XII apabila mencatat kemenangan 2-1 di Stadium Negeri, Kuching. Pemain Lions XII menjaringkan gol sendiri melalui Shakir Hamzah pada min ke-11. Sarawak menambah gol melalui Joseph Kalang Tie. Lions XII berjaya merapatkan jurang jaringan melalui Safuwan Baharuddin. 

Perak berjaya memperolehi satu mata apabila seri 1-1 dengan Kedah pada pertemuan Kumpulan D di Stadium Darul Aman.  Alen Guc muncul wira apabila menjaringkan penalty pada minit kecederaan untuk memastikan Kedah tidak berputih mata di halaman sendiri.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*