Home / Bola Sepak / Rangkuman Perlawanan Ke 5 – Watson Piala Malaysia 2013

Rangkuman Perlawanan Ke 5 – Watson Piala Malaysia 2013

Misi Selangor untuk mencari kejuaraan ke 33 gagal direalisasikan apabila seri 1-1 ketika berkunjung ke Stadium MP Selayang. ATM berjaya menjaring gol pendahuluan melalui jaringan penyerang berbisa, Marlon James pada minit ke-37. Mohd Fitri Shazwan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 68 namun usaha Selangor untuk layak ke peringkat suku akhir terkubur lagi. Ini adalah musim ketiga pasukan Selangor gagal meraih sebarang kejuaraan. 

 
Penyerang ATM, Marlon Alex James meraikan jaringan ketika bertemu pasukan Selangor.  | Gambar oleh : Arep Kulal

 

Satu lagi perlawanan untuk kumpulan A adalah antara Johor dan Sime Darby yang berakhir dengan kedudukan 2-2. Johor mendahului 2-0 hasil jaringan Farid Ederis (min ke 14) dan Izzuan Jaruddin (3min ke 37) sebelum Sime Darby mencerahkan peluang untuk beraksi pada peringkat suku akhir melalui jaringan Azmirul Azmi (min ke 43) dan Fazrul Hazli (min ke 57). 

Saingan kumpulan B menyaksikan PKNS mengesahkan laluan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2013 apabila menewaskan T-Team 5-0. Gol-gol pasukan PKNS dijaringkan oleh Roman Chmelo (min ke 20 dan 67), Patrick Ronaldinho (min ke 23 dan 29) dan Mohd Nizad Ayub pada min ke 87. 

Johor Darul Takzim(JDT) pula hamper pasti menjadi satu lagi wakil Kumpulan B untuk beraksi di peringkat suku akhir apabila menewaskan Felda United 5-2. JDT kini mengumpul 9 mata dan keputusan seri pada perlawanan terakhir menentang PKNS sudah mampu mengesahkan laluan JDT ke suku akhir Piala Malaysia 2013. 

Dalam saingan Kumpulan C, Terengganu gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 1-3 di tangan pasukan Kelantan. Kelantan mendahului hasil jaringan gol sendiri oleh pertahanan Terengganu, Hasmizan. Kelantan menjaringkan dua gol lagi melalui Indra Putra dan Badri Radzi sementara gol saguhati Terengganu dijaringkan oleh Ashaari Shamsuddin. 

Pahang pula berjaya menewaskan N.Sembilan 3-0 di Stadium Darul Makmur hasil jaringan Matias Conti (51), R. Gopinathan (71) dan Azidan (min ke 84). 

Perak pula mensia-siakan peluang mengesahkan laluan ke suku akhir Piala Malaysia 2013 apabila tewas kepada pasukan Kedah 0-1 di Stadium Perak. Kedah menjaringkan gol tunggal perlawanan melalui Nelson Martin pada minit-minit kecederaan perlawanan.  Perak kini berdepan dengan tugasan sukar untuk menewaskan Sarawak pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan. 

Satu lagi perlawanan Kumpulan D antara Lions XII dan Sarawak dijadualkan berlangsung pada malam esok, 18-Sep-2013.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*