Home / Bola Sepak / Rangkuman Perlawanan ke 4 – Watson Piala Malaysia 2013

Rangkuman Perlawanan ke 4 – Watson Piala Malaysia 2013

Oleh: Md Duang

Pemain Johor FA, Rashid Aya diasak keras oleh pemain ATM, Affize Faisal Mamat (no.8) dalam aksi perlawanan Piala Malaysia antara ATM dan Johor FA di Stadium Majlis Pembandaran Selayang. Foto by OnlyOne Mansor
KUMPULAN A
ATM 4   JOHOR 1
Kemenangan besar 4-1 ketika melayan kunjungan pasukan Johor di Stadium MP Selayang bukan sesuatu yang mengejutkan. Jaringan oleh Bruno Martelotto, Marlon Alex James dan Cristie Jayaseelan kini berjaya melonjak pasukan ATM selaku pendahulu kumpulan. Setelah hampa sekadar seri 3-3 pada aksi di Pasir Gudang, anak buah B.Satianathan bermula garang pada awal permainan namun gol pertama hanya hadir pada minit ke 41 hasil ledakan Bruno Martelotto. ATM menggandakan kedudukan hasil jaringan Marlon Alex James pada minit ke 75. Johor merapatkan jurang melalui Mohd Rashid Aya apabila tendangannya gagal diselamatkan oleh G. Jeevanathan. Namun Cristie Jayaseelan kembali meletakkan ATM dalam kedudukan selesa sebelum jaringan Bruno Martelotto memastikan kemenangan berjaya ATM buat Johor berputih mata.
SELANGOR 1   SIME DARBY 1
Sentuhan jurulatih sementara Selangor, P. Maniam hanya sekadar menghadiahkan satu mata buat The Red Giants meskipun beraksi di laman sendiri. Seakan terdesak memburu kemenangan, Selangor bermula garang dan berjaya mendahului lawan hasil jaringan Forkey Doe pada akhir babak pertama. Jaringan tersebut seakan memberi sinar harapan buat sebilangan kecil penyokong setia yang hadir ke stadium Shah Alam namun pasukan Sime Darby yang tidak mahu keciciran mata mula menggandakan asakan untuk terus mengancam kubu Selangor. Akhirnya pada minit ke 79, penyerang prolifik mereka, Karlo Primorac meledak gol penyamaan. Keputusan ini menyaksikan luka Selangor semakin parah dan mula menghitung nasib tersingkir awal di pusingan awal Piala Malaysia
KUMPULAN B

JOHOR DARUL TAKZIM  1     T-TEAM  2

Setelah menang 3-2 pada perlawanan pusingan pertama, JDT diramal tidak berhadapan masalah untuk membenam cabaran T-Team di laman sendiri. Namun T-Team ibarat membalas dendam apabila berjaya menewaskan JDT dengan jaringan 2-1. Meskipun JDT mendahului pada minit akhir separuh masa pertama hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha namun percubaan demi percubaan ke pintu gol T-Team gagal menghasilkan sebarang gol dan sebaliknya T-Team dilihat semakin berbahaya hasil gerakan serangan balas mereka. Hasilnya, dalam satu serangan pantas ke pintu gol JDT, tandukan lambung Abd Latiff Suhaimi menerjah gawang pada minit ke 80. Gol tersebut membakar semangat pemain T-Team yang terus meningkatkan asakan. Pada minit ke 90, George Boateng menanduk masuk gol kemenangan hasil satu gerakan menarik dari kiri pintu gol JDT. Tersentak dengan gol itu JDT cuba mencari gol penyamaan namun T Team kental bertahan hingga wisel penamat.

FELDA UTD 1      PKNS FC 0

Hasrat pasukan PKNS FC untuk menjadi pasukan pertama menempah slot ke pusingan suku akhir terbantut apabila mereka dikejutkan dengan kekalahan tipis 0-1 kepada pasukan Felda United di Stadium MP Temerloh. Jaringan tunggal pemain import, Emmanuel Mazowa pada minit ke 40, sudah cukup menghadiahkan kemenangan pertama buat Felda United dan juga kekalahan pertama PKNS FC. Kemenangan ini memberi sedikit nafas baru buat anak buah Azuan Zain melayari saingan kumpulan B
KUMPULAN C

TERENGGANU 2     PAHANG 1

Pemain gantian, Khairul Ramadhan muncul wira Terengganu apabila meledak gol kemenangan pada minit terakhir permainan seterusnya memastikan tiga mata berharga buat Sang Penyu. Penyerang import, Effa Owona membuka diari jaringan pada minit ke 62 sebelum pemain kebangsaan, Azamuddin Akil mengikat kedudukan buat Pahang pada minit ke 67. Ketika kedudukan seakan berkesudahan seri, Khairul Ramadhan tampil wira seterusnya melegakan kem Terengganu untuk membidik kemenangan pertama mereka.

KELANTAN  2      NEGERI SEMBILAN 3

Skrip berbeza berlaku di Kota Bharu apabila Sang Kijang dijinakkan oleh Sang Rusa. Tewas di tempat sendiri sudah pasti memberi kejutan kepada anak buah Bojan Hodak. Negeri Sembilan yang berjaya mengikat The Red Warriors pada perlawanan pusingan pertama di Paroi, berjaya mengejutkan Kelantan hasil jaringan pemain meningkat naik, S. Sivanesan pada minit ke 13. Namun Indra Putra menyamakan kedudukan pada minit ke 37. Ahmad Fakri Saarani meletakkan Kelantan di depan pada minit ke 47 hasil tandukan menarik. Negeri Sembilan tidak berputus asa dan mengikat kedudukan pada minit ke 56 melalui Fabio Leandro. Sentuhan pemain ini semakin berbisa pada saingan Piala Malaysia apabila meledak gol kemenangan pada minit ke 78 seterusnya merentap hati ribuan penyokong Kelantan.
KUMPULAN D

SARAWAK 4    KEDAH 0

Sekadar seri 0-0 ketika aksi di Darul Aman, Sarawak yang pulang ke Kuching dalam misi mencatat kemenangan berjaya melunaskan misi tersebut apabila menumbangkan cabaran Sang Kenari dengan jaringan 4-0. Pesta gol skuad Bujang Senang dimulakan oleh Zambri Morshidi pada minit ke 55 sebelum Muamer Salibasic menjaringkan gol pada minit ke 62, buat Sarawak selesa mendahului. Penyerang sensasi Sarawak, Bobby Gonzales, melengkap malam gemilang Sarawak apabila menjaringkan 2 gol pada minit ke 74 dan 78. Aksi yang sengit dan tegang turut menyaksikan pemain Kedah, Mohd Faisal Abu Bakar dilayangkan kad merah yang seterusnya menambah derita Sang Kenari untuk “terbang” pulang ke negeri Jelapang Padi

LIONS XII 2     PERAK 1

Lions XII menarik nafas lega apabila mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ketika melayan kunjungan Perak di Stadium Jalan Besar. Lions XII berada di depan pada minit ke 61 hasil tandukan Hariss Harun. Namun sepakan percuma menarik, Mohd Noor Hazrul lima minit selepas itu kembali mengikat kedudukan. Pada minit ke 78, percubaan Pablo Rangel yang dilihat melintasi garisan gol Lions XII tidak disahkan oleh pengadil perlawanan, Nafeez Abdul Wahab seterusnya melegakan kem Lions XII. Pasukan kendalian Azraai Khor Abdullah terus kecewa apabila Lions XII mengesahkan kemenangan hasil jaringan Safuwan Baharuddin yang melambung cantik bola ke gawang Perak yang gagal diselamatkan oleh Farizal Marlias. Kemenangan ini memberi “nyawa” baru buat Lions XII yang dilihat hilang punca pada pusingan pertama saingan kumpulan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*