Home / Bola Sepak / Rangkuman Liga Super, bagaimana prestasi pasukan anda ?

Rangkuman Liga Super, bagaimana prestasi pasukan anda ?

Pemain JDT dalam aksi menentang Felda United. © Khairul Hayqa/SukanMalaysiaDotMY

Pemain JDT dalam aksi menentang Felda United. © Khairul Hayqa/SukanMalaysiaDotMY

JDT KEMBALI DENGAN KUALITI

Pasukan Harimau Selatan JDT kembali dengan reputasi gahnya apabila menewaskan FELDA UNITED 3-1  walaupun ketinggalan 0-1 di Stadium Larkin malam tadi.

Jurulatih baru JDT Benjamin Mora mengecapi kemenangan sulungnya bersama JDT setelah hanya mampu seri 1-1 dengan Kedah pada perlawanan pertama kelmarin.  Begitupun perlawanan malam tadi menghadirkan kebimbangan kepada penyokong setia Harimau Selatan apabila bekas penyerang JDT Norshahrul Idlan Talha meletakkan FELDA UNITED di hadapan pada minit ke-22.

Bagaimanapun ianya hanya berkekalan selama empat minit apabila sepakan sudut yang diambil oleh Safiq Rahim berjaya ditanduk masuk oleh pertahanan tinggi lampai JDT iaitu Mohd Fadhli Shas untuk keputusan kekal 1-1 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua JDT bermain dengan lebih baik dan hasilnya mereka menambah dua lagi gol menerusi 2 penyerang import argentina mereka iaitu Gonzalo Cabrera Brian Ferreira pada minit 62 dan 65.  Dua gol dalam tempoh 3 minit itu meletakkan FELDA dalam keadaan sukar untuk sekurang-kurangnya untuk pulang dengan satu mata apatah lagi apabila mereka terpaksa bermain kurang satu pemain setelah bek kanan mereka Hasnizaidi Jamian dibuang padang pada minit ke-59 setelah mendapat kad kuning kedua ketika mengasari Muhd Safawi Rasid.  Keputusan sepenuh masa JDT 3 FELDA UNITED 1.

Aksi pemain Kedah dalam perlawanan menentang Sarawak. © Junaidi Ahmad / SukanMalaysiaDotMY

Aksi pemain Kedah dalam perlawanan menentang Sarawak. © Junaidi Ahmad / SukanMalaysiaDotMY

KEDAH TERUS GAH

Segar dari menjulang Piala Sumbangsih tempoh hari, Kedah bangkit dari ketinggalan 2 kali sebelum melakar kemenangan 3-2 ke atas Sarawak pada perlawanan kedua Liga Super 2017 di Stadium Darul Aman.

Pemain Import Sarawak dari Filipina, Mart Andrew Hartman berjaya menjaringkan gol seawal minit ke-9 apabila melakukan satu rembatan cantik menerusi sepakan percuma selepas rakannya, Abd Rahim Abd Razak dijatuhkan di hadapan kotak penalti Kedah.

Kedah yang terkejut dengan jaringan pendahuluan itu bangkit menyusun permainan mereka untuk memburu gol penyamaan dan dengan tekanan berterusan menyaksikan pasukan Sarawak terpaksa berkampung di kawasan sendiri.

Usaha berterusan Kedah  itu menjelmakan gol penyamaan pada minit ke-21 juga menerusi rembatan dari jarak 40 meter oleh Baddrol Bakhtiar menewaskan penjaga gol Sarawak.

Selepas itu Sarawak kembali menyusun permainan dan hasilnya Tommy Mawat memanfaatkan keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol Kedah untuk meletakkan Sarawak kembali mendahului.  Separuh masa pertama berkesudahan Kedah 1 Sarawak 2.

Memasuki separuh masa kedua, Hijau Kuning tidak  patah semangat serta tidak mahu kalah di gelanggang sendiri.  Mereka terus mengempur kubu pelawat dan menguasai sebahagian besar perlawanan.  Akhirnya dua gol dalam tempoh dua minit yang dijaringkan oleh Sandro Da Silva dan pemain gantian, Syazwan Zainon. pada minit ke-70 dan 72 menggembirakan hampir 25,000 penyokong setia Hijau Kuning untuk pulang riang.

PAHANG KEMBALI GARANG

Aura Dollah Salleh kepada SKUAD Tok Gajah masih kuat apabila mereka melakar kemenangan besar 5-0 ke atas skuad T-Team di Stadium Darul Makmur di malam tadi.

Skuad TOK GAJAH membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 hasil jaringan penyerang kelahiran Gambia Mohamadou Sumareh dan selepas itu permainan kembali seimbang setelah T-Team kembali menyusun permainan mereka.  Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua Pahang bermula dengan lebih tersusun dan hasilnya 10 minit selepas aksi kedua bermula mereka menambah jaringan hasil tandukan pemain import Brazil Matheus Alves Leandro pada minit ke-55.  T-Team terus tertekan dan gagal menyaingi Pahang apabila mereka melepaskan satu lagi gol 10 minit berselang kali ini giliran pemain import Pahang dari Korea Selatan pula iaitu Heo Jae-Won menambah jumlah jaringan 2-0.

Matheus Alves Leandro sekali lagi meletakkan bola dalam gawang T-Team pada minit 74 sebelum seorang lagi pemain import pasukan Pahang dari Nigeria iaitu Bright Dike melengkapkan malam ‘Makan Besar‘ buat pemain import Pahang pada minit ke 85.  Keputusan penuh Pahang 5 T-Team 0

KELANTAN MENGGEGAR HASIL GOL GHADDAR

Penundaan perlawanan pada hari pertama Liga Super langsung tidak menggugat pasukan KELANTAN darimelakar kemenangan apabila menewaskan PKNS dengan jaringan 3-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Walaupun dengan pelbagai rintangan dalam pengurusan KAFA namun pasukan kendalian Zahasmi Ismail memberi sesuatu yang positif untuk penyokong The Red Warrior percaya mereka salah satu pasukan pencabar dalam Liga Super tahun ini..

Percaturan Kelantan yang mengambil kembali pemain import mereka dari Luban Mohamad Ghaddar berbaloi apabila beliau menjadi wira menjaringkan dua gol membantu kemenangan Kelantan ke atas PKNS.

Gol pertama Kelantan hadir pada minit ke-19 selepas bola sepakan percuma Indra Putra Mahyuddin gagal ditangkap kemas penjaga gol PKNS dan disambar oleh Mohamad Ghadar.  PKNS yang dinaikkan dari Liga Perdana masih mampu bersaing ditambah pula dengan kehadiran pemain seperti Safee Sali yang berhijrah dari JDT.  Namun gol dari sepakan penalti pada minit ke-20 Kelantan selepas penyerang Kelantan Alessandro Padovani Celin dijatuhkan di dalam kotak penalti melebarkan jurang jaringan kepada dua gol dan meletakkan PKNS dalam keadaan sukar.  Sepakan penalti itu disempurnakan oleh Mohamad Ghaddar.  Sebelum tamat separuh masa pertama PKNS berjaya mengurangkan defisit gol melalui tandukan kapten pasukan, Gonzalo Manuel Soto untuk keputusan separuh masa berakhir PKNS 1 Kelantan 2.

Babak kedua perlawanan, PKNS kembali memperkemaskan permainan mereka dan dan penyerang yang dipinjamkan kepada Selangor tahun lalu Patrick Ronaldinho Wleh hampir menyamakan kedudukan namun keputusan masih kekal 1-2.

Perjuangan PKNS makin sukar apabila pada minit ke-48, ‘Kapten Marvel’ Kelantan Mohd Badhri Razi menghasilkan satu jaringan cantik dari sepakan percuma untuk Kelantan menjarakkan kedudukan kepada 3-1.

Segalanya serba tidak kena buat PKNS apabila pada minit ke 69 jaringan Mohd Safee Sali dibatalkan pengadil kerana mengasari penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.  Akhirnya PKNS pulang hampa Kelantan Ceria dengan keputusan PKNS 1 Kelantan 3

SELANGOR LEGA, MELAKA PULANG CERIA

Selangor yang masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang menanti kunjungan pendatang baru Liga Super Melaka United yang dilihat sebagai salah satu pencabar dalam Liga tahun ini.

Perlawanan ini juga menyaksikan kembalinya Amri Yahyah ke tanah kelahirannya dengan mewakili jersi berbeza.  Separuh masa pertama berlangsung dengan kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati dengan Melaka yang baru pertama kali bermain setelah perlawanan pertama mereka dengan Kelantan ditunda akibat cuaca buruk.  Selangor pula turun dengan kesebelasan yang sama ketika menewaskan Pulau Pinang sabtu lalu nampak kemas menyusun gerakan dari minit pertama.  Dengan kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati meletakkan kedudukan separuh masa kekal tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua Melaka United dan Selangor masing-masing mula menggandakan serangan namun Melaka yang mula membuka jaringan pada minit 69 oleh Khairu Azrin yang melencongkan bola dengan sempurna dari luar kotak penalti menewaskan Norazlan Razali sama sekali.

Selangor yang tersentak dengan gol itu menyusun gerakan dan Victor Astafei pemain Import baru mereka dari Romania menjadi nadi kepada gol penyamaan Selangor pada minit 81 apabila menanduk masuk gol dari sepakan sudut sebelah kiri pintu gol Melaka.

Keputusan itu kekal sehingga tamat permainan dan Selangor sepatutnya berasa lega keputusan seri ini kerana kualiti yang ditunjukkan oleh pasukan Melaka United membuktikan mereka memang pencabar yang patut digeruni oleh pasukan lain pada Liga Super tahun ini.

PERAK BERSORAK DI BATU KAWAN

Pulau Pinang yang tewas 0-2 pada Skuad Merah Kuning pada perlawanan pertama gagal memanfaatkan bermain di tempat sendiri apabila tewas kepada Perak di Stadium Batu Kawan hasil jaringan  tunggal Shahrol Saad pada minit ke 68 hasil hantaran pemain baru mereka Zaquan Adha Abd Razak.

Tambah malang jurulatih baru mereka Ashley Westwood turut dibuang padang pada minit ke 61 apabila beliau berbalah mulut dengan pengadil keempat Azwan Mohamed kerana tidak berpuas hati dengan pengadil Zaidi Katimin yang tidak menganugerahkan sepakan penalti kepada pasukannya.  Beliau mendakwa Jafri Chew ditarik oleh pemain lawan apabila hendak melakukan sepakan ke arah gol dalam kotak penalti.

Malam yang suram buat Pulau Pinang terus kekal apabila peluang terbaik mereka pada minit ke 85 dari pemain Anugerah Puskas mereka Mohd Faiz Subri dinafikan oleh palang gol walaupun penjaga Gol Lawan Hafizul Hakim dilihat telahpun tertewas. Keputusan akhir Pulau Pinang 0 Perak 1

Oleh : Hisyam Rahman / Sukan Malaysia