Home / Lain - Lain / #RAGBIPERSAHABATAN : Pasukan Negara semakin matang !

#RAGBIPERSAHABATAN : Pasukan Negara semakin matang !

Barisan pemain pasukan Malaysia bergambar sebelum perlawanan. Gambar oleh Faiz Azizan / SukanMalaysiaDotMY

Oleh : Faiz Azizan
Biarpun hanya perlawanan persahabatan,namun ianya boleh dianggap sebagai sejarah untuk pasukan ragbi 15 sepasukan negara. Buat pertama kalinya mereka beraksi didalam Stadium Nasional Bukit Jalil. Sebelum ini kebanyakkan perlawanan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Kelana Jaya dan beberapa padang di universiti tempatan. Sejak jam 2.30 petang peminat ragbi tanahair telah mula memenuhi tempat duduk dibahagian bawah stadium.

Kehadiran penonton melebihi 6 ribu orang memberi tanda positif kearah minat dalam sukan ragbi. Faiz Azizan / SukanMalaysiaDotMY

Kehadiran penonton yang berjumlah hampir 6 ribu orang di Stadium Nasional Bukit Jalil telah menyuntik semangat kepada pemain-pemain pasukan ragbi 15 sepasukan Malaysia. Seakan sudah serasi dengan keadaan padang pasukan negara mendapatkan trai pertama pada minit ke 15 permainan. Pasukan negara terus mengasak dan mendapat satu penalti pada minit ke 27 yang disempurnakan oleh Amirul Aqil Kamsol. 4 minit sebelum separuh masa pertama tamat Pasukan negara menambah satu lagi trai melalui pemain naturalisasi Timoci Vunimoku dan sekali lagi Amirul Aqil Kamsol menyempurnakan konversi.Tamat separuh masa pertama, pasukan negara mendahului KL Tigers 17 mata tanpa balas.

Bermula separuh masa kedua, pasukan negara terus mengasak ke kubu pasukan KL Tigers dan hasilnya baru 6 minit perlawanan bermula satu lagi trai telah dihasilkan oleh Aiman Jamaludin namun konversi gagal disempurnakan oleh Fairuz Rahman.

Antara aksi pemain negara. Faiz Azizan / SukanMalaysiaDotMY

KL Tigers semakin hilang taring apabila dikejutkan dengan dua lagi trai pada minit ke 15 separuh masa kedua dan minit ke 19 dan kali ini Fairuz Rahman berjaya menghadiahkan 2 mata melalui konversi. Tidak mahu berputus asa, pasukan KL Tigers cuba melancarkan satu serangan pada minit terakhir perlawanan dan berjaya mendapatkan satu trai sebelum wisel penamat ditiupkan oleh pengadil Mohd Ramadhan Nik Abdullah. Pasukan negara menang dengan keputusan 34 berbalas 5.