Home / Lain - Lain / #ragbipadu – Malaysia Bangkit tewaskan Sri Lanka

#ragbipadu – Malaysia Bangkit tewaskan Sri Lanka

Skuad Malaysia ceria selepas berjaya menewaskan Sri Lanka. Gambar © Faiz Azizan

Skuad Malaysia ceria selepas berjaya menewaskan Sri Lanka. Gambar © Faiz Azizan / SukanMalaysiaDotMY

BUKIT KIARA, 12 May 2016 : Kekalahan kepada pasukan Filipina pada aksi pembuka tirai Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2016 Divisyen 1, tidak melunturkan semangat juang pasukan ragbi negara untuk mencipta kejutan. Dalam perlawanan “Misi Mustahil” bertemu pasukan Sri Lanka yang dianggap pasukan pilihan, mereka berjaya mencatat kemenangan dengan keputusan 42 berbalas 17.

Percaturan Jurulatih negara Lee Nyuk Fah ternyata berhasil dan ini memberi kelegaan kepada skuad ragbi Negara serta seluruh peminat sukan ragbi tanahair. Kemenangan memberikan peluang cerah buat skuad negara untuk mengekalkan kedudukan dalam divisyen 1 tahun ini.

Aksi pasukan Malaysia. Gambar © Faiz Azizan / SukanMalaysiaDotMY

Aksi pasukan Malaysia. Gambar © Faiz Azizan / SukanMalaysiaDotMY

Beraksi di Kelab DiRaja Selangor, Bukit Kiara, Malaysia bermula garang seawal wisel pertama dengan menguasai babak pertama 20-10. Dua trai berjaya diperolehi dalam tempoh 13 minit menerusi Mohd Shahir Ashraf Rosli dan Etonia Vaka Saukuru manakala Mohd Sharif Syafirul menyumbang 10 mata menerusi 2 konversi dan 2 penalti. Sri Lanka cuba bangkit untuk menghambat pasukan Negara menerusi penalti Riza Mubarak sebelum menambah trai Kavindu Perrera dan konversi disempurnakan oleh Riza.

Kehadiran Menteri Belia dan Sukan Malaysia YB Tuan Khairy Jamaluddin menyuntik semangat tambahan kepada skuad ragbi Negara dengan menyaksikan Syarif Saiful Azwan terus cemerlang menambah mata untuk Malaysia menerusi penalti dan konversi. Manakala pemain gantian Badrul Muktee juga Berjaya mencipta trai untuk pasukan Negara. Tengku Mohd Fareez Tengku Roslan dan Mohd Aiman Jamaluddin juga turut melakar nama sebagai penyumbang mata untuk Malaysia menerusi trai. Ini terus meranapkan semangat pasukan Sri Lanka.

Muhd Amirul Aqil Kamsul yang masuk sebagai pemain gantian turut sama menyumbang mata untuk Malaysia menerusi konversi pada hujung waktu perlawanan. Sri Lanka cuba bangkit menambah 7 mata hasil trai Buwanaka Udangamuwa dan konversi oleh Rize, namun ia belum cukup untuk menghalang Malaysia dengan keputusan 42-17 sekaligus mengesahkan kemenangan pertama skuad kendalian Lee Nyuk Fah selepas dua perlawanan.

Malaysia akan menutup aksi ARC Divisyen 1 2016, menentang Singapura pada Sabtu.